Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Meskipun anak dan bapa ini bergandingan dalam bidang politik, namun ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil pendekatan politik yang berbeza.

Dr Mahathir sendiri, walau sudah mencapai usia 93 tahun, tidak memerlukan tongkat yang menampung dirinya, tubuhnya tetap tegap, ingatannya masih tajam dan mampu mengingat segala perkara yang dilakukan dalam hidup.

Pendekatan Dr Mahathir dilihat lebih tegas manakala Mukhriz sendiri agak ‘gentleman’ dalam menjadi ahli politik.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, Mukhriz berkata beliau menggunakan pendekatan memujuk dan memperkasakan rakyat.

Mukhriz berkata perkara pertama yang dilakukan ketika menjadi menteri besar Kedah pada 2013 adalah tidak menukar corak pemerintahan di negeri itu.

Selain itu beliau juga tidak menggunakan konsultan dari luar negara, sebaliknya mengadakan sesi sumbang saran dengan pakar akademik, badan bukan kerajaan dan dan pakar-pakar lain berkaitan pembangunan negeri Kedah.

“Banyak idea bagus datang daripada mereka. Banyak idea datang daripada penjawat awam di Kedah. ini adalah sesuatu yang ada dalam diri mereka yang tidak di bawa keluar.

“Bila kamu beri peluang untuk (menyumbang idea) tentang arah tuju (Kedah), tiba-tiba mereka keluar dengan idea-idea hebat ini. Mereka tahu apa yang berlaku (di Kedah) dan cara untuk lakukannya,” kata Mukhriz.

Mukhriz mengambil pendekatan tersebut ketika menjawat kerusi menteri besar Kedah dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata kenyataannya itu tidak bermakna bapanya tidak berhubung dengan penjawat awam atau menteri-menteri dalam membangunkan negara.

Menceritakan mengenai bapanya, Mukhriz melihat Dr Mahathir sebagai seorang lelaki yang penuh dengan idea dan berinovasi tinggi.

Pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) Mukhriz memenangi Parlimen Jerlun manakala pada PRU berikutnya beliau menang selepas bertanding di DUN Ayer Hitam dan dilantik menjadi menteri besar Kedah.

Pada awal 2016, Mukhriz melepaskan jawatannya selepas dikatakan hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) akibat lantang membantah skandal 1MDB dan pentadbiran Najib.

Menceritakan detik-detik beliau mula berkecimpung dalam politik, Mukhriz mendedahkan Dr Mahathir sebenarnya tidak senang dengan pembabitannya bersama adik-beradiknya secara aktif dalam politik.

Malah, kata Mukriz, bapanya itu pernah menyingkirkan namanya selepas mendapat tahu terdapat rancangan untuk meletakkan nama anaknya untuk bertanding pada pilihan raya umum 1999.

Mukhriz menyertai politik pada 2004 selepas beliau dicalonkan sebagai exco Pemuda Umno. Setahun sebelum itu, bapanya melepaskan jawatan perdana menteri.

Mukhriz dalam wawancara Malaysiakini itu juga menganggap pertalian hubungan anak dan bapa ini sebagai suatu manfaat bagi mendapatkan bimbingan dalam bidang politik.

“Berdasarkan pengalamannya yang menakjubkan dan pengetahuan yang mendalam, dia mempunyai pengalaman sebenar dan yakin dengan pendapatnya.

“Apabila kamu mempunyai kombinasi berkenaan, kamu selalu mengharapkannya apabila diperlukan. Tapi kadang-kadang kami terlalu diplomatik, terlalu berlapik akhirnya tak selesai masalah.

“Saya sendiri apabila perlu tegas, saya tegas lah,” katanya.

Tolak tawaran jawatan oleh PM

Mukhriz berkata sewaktu beliau tidak lagi menyatakan sokongan kepada Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menawarkan kepadanya jawatan menteri dan timbalan menteri namun beliau tidak menerimanya kerana boleh menjejaskan integriti.

“Kalau saya sendiri terima macam dah jual maruah. Bila ada waktu saya mesti tegas tapi saya masih lagi cuba lakukannya dengan cara diplomatik,” katanya.

Menjawab soalan Malaysiakini, tentang bagaimana Mukhriz untuk mengelak daripada dibayangi kepimpinan bapanya, beliau berkata tidak ada keperluan untuk dirinya berbuat demikian.

“Saya tak lihat ada satu keperluan buat macam tu. Orang kenal siapa saya. Sudah tentu dia akan lihat bin saya, berbanding saya, itu tak apa. Saya tak boleh nak tolonglah, nak buat macamana,” katanya.

Mukhriz bagaimanapun berkata orang mula mengenalinya apabila mempunyai pendirian yang sedikit berbeza berbanding bapanya.

Mukhriz mengambil contoh, dalam hal berkaitan anak muda, Dr Mahathir dilihat mempunyai pendekatan yang tidak sama disebabkan jurang generasi yang jauh.

“Sewaktu dia menjadi perdana menteri, ada beberapa isu saya bangkitkan mengenai orang muda mungkin dia tak berapa faham atau terima. Dia sebagai ayah waktu itu, sekarang ini dah jadi tok moyang jadi jurang lagi luas,” katanya.

Mukhriz turut melihat bapanya kini lebih memahami anak muda lebih-lebih lagi dilihat mempunyai hubungan yang agak istimewa dengan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya bincang dengan Syed Saddiq bagaimana kita nak tarik sokongan orang muda, (dia kata) kita kena faham mereka dulu sebelum kita menjadi inspirasi kepada mereka.

“Syed Saddiq tak selalu setuju dengan apa Dr Mahathir sebut dan Dr Mahathir tak selalu setuju dengan Syed Saddiq sebut tapi dua boleh serasi.

“Jadi saya ingat ia kombinasi penting untuk kita ke hadapan, jurang-jurang yang besar ini harus kita hadapi, ini bukan masalah di Malaysia sahaja tapi seluruh dunia,” katanya.

Lihat Komen
ADS