PKR mengumumkan bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah kini merupakan sebahagian keluarga PKR dan akan bertanding menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.

"Saya sangat terharu bahawa hari ini saya mengumumkan beliau akan menjadi sebahagian keluarga KEADILAN dan insyaAllah kita akan mendengar 'paluan kompang' dalam pilihan raya ini," katanya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, bagaimanapun menjelaskan Maria tidak menyertai parti secara rasmi.

Sidang akhbar itu kemudian bertukar menjadi panas apabila wartawan mendesak kepimpinan PKR yang hadir menjawab mengapa Maria tidak menyertai parti itu.

"Kamu semua tahu untuk menang pilihan raya sebagai calon bebas adalah mustahil. Ini logo yang kami pilih untuk bekerjasama, semudah itu," kata Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Saifuddin Abdullah.

Maria sebelum ini mengesahkan beliau telah berbincang untuk bertanding sebagai calon parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui tawaran itu dibuat dua minggu lalu.

Dalam sidang akhbar hari ini, Zuraida berkata beliau percaya keputusan Maria bertanding di bawah logo PKR akan membantu usaha pemberdayaan wanita berikutan pengalamannya yang luas dalam isu berkenaan.

Maria turut berikrar akan melakukan yang terbaik dalam usaha untuk menyumbang ke arah agenda reformasi.

Beliau juga berkata akan bertanding di mana-mana kerusi yang ditawarkan parti itu kepadanya.

Paling utama menang PRU

Ditanya mengapa beliau tidak menyertai PKR secara rasmi, Maria berkata perkara itu boleh dibincangkan kemudian.

"Bagi saya matlamat utama adalah bertanding pilihan raya umum dan memenangi pilihan raya umum," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Maria menjelaskan keputusannya untuk tidak menyertai parti itu secara rasmi adalah "politik baru" yang diperkatakan.

"Saya tak merasa saya perlu mendaftar sebagai ahli. Kita boleh bincangkannya selepas pilihan raya.

"Soalan itu tetap akan timbul tapi saya tak fikir ia penting sekarang. Yang paling penting ialah bagaimana kita boleh mengemukakan agenda reformasi," katanya.

Maria menjelaskan beliau bertanding di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) memandangkan gabungan itu memperjuangkan agenda yang sama.

"Agenda mereka sama dengan yang saya perjuangkan. Saya tertarik dengan kesaksamaan jantina dalam manifesto HARAPAN yang akan memandu saya untuk bagaimana kami akan bekerjasama.

"Anda tak boleh harapkan saya menyertai BN apabila isu-isu yang saya perjuangkan tidak dihormati," katanya.

Sejak meletakkan jawatan sebagai pengerusi BERSIH, Maria dikatakan akan bertanding di bawah tiket PKR dan dipilih sebagai calon di kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan, Pandan atau Batu.