Anak-anak murid pemimpin PAS Selangor yang digantung tauliah Ahmad Dusuki Abd Rani turut bersetiakawan dengan penceramah popular Terengganu Azhar Idrus.
Ini susulan perkembangan terbaru apabila Azhar dilapor dikekang daripada berceramah di Setiu oleh pihak berkuasa agama setempat kerana dikatakan tiada tauliah.
Gambar kedua-dua penceramah itu kini digandingkan bersama dalam satu poster dengan kapsyen:
"Kami berdiri teguh bersama Ustaz Azhar dan Ustaz Dusuki dalam memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini."
Ia dimuatkan dalam kumpulan Facebook Anak Murid Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Akhbar komuniti Sinar Harian semalam melaporkan Azhar pada Rabu dijadual memberikan kuliah Maghrib di Masjid Kampung Bahagian Setia tetapi dipercayai mendapat kekangan Pejabat Agama Daerah Setiu.
Bagaimanapun, bagi tidak menghampakan jemaah yang telah hadir, kuliah maghrib itu dilapor ditukar ke lokasi lain iaitu di pusat asuhan kanak-kanak PAS, PASTI bersebelahan.
“Sebagai langkah mengelak tindakan undang-undang diambil ke atas penceramah bebas itu, penganjur menukar lokasi kuliah malam tadi,” lapor harian itu.
Sementara itu, Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) turut memuat naik gambar orang ramai yang hadir untuk ceramah itu.
“Ceramah perdana di luar Masjid Kampung Bahagia Bintang Setiu Terengganu 21/3/3018.
“Jutaan terima kasih kepada semua hadirin khususnya rakyat Setiu. Sekalipun dihalang menggunakan masjid, lebih kurang 5,000 org tua muda datang memberikan sokongan kepada Islam,” menurut kapsyen itu.
