Mana maruah kepimpinan Melayu?
ULASAN l Baru-baru ini di Tanah Merah, Kelantan, telah diadakan satu pesta yang berlangsung selama dua hari.
Pesta ini telah dihadiri oleh pemimpin pusat dan negeri, dengan berbagai acara telah diaturkan. Ini termasuklah cabutan nombor bertuah di mana hadiah kemuncaknya ialah sebuah kereta ‘Myvi’ diikuti beberapa buah motosikal dan pelbagai barangan eletrik untuk rumah.
Setiap peserta dimestikan mengisi borang dan nombor nombor pendaftaran mereka telah dikumpul untuk cabutan nombor bertuah tersebut.
Cabutan nombor ini telah diadakan pada bila-bila masa sepanjang perjalanan pesta, dengan itu para hadirin terpaksa menunggu di tapak pesta dari awal sehingga tamat acara, dengan harapan nombor mereka akan dicabut oleh pihak penganjur dan mereka akan mendapat hadiah-hadiah yang ditawarkan.
Sementara menunggu, mereka dihiburkan dengan nyayian dan ceramah oleh ketua ketua Umno, kerana sememangnya pesta ini adalah anjuran mereka.
Inilah antara strategi baru Umno dan PAS untuk menarik lebih ramai pengunjung ke ceramah politik mereka. Banyak lagi pesta seperti ini disegenap pelusuk Kelantan, rupanya, sama ada
tajaan Umno atau PAS.
Sekiranya tiada acara cabutan nombor bertuah berserta dengan hadiah-hadiah yang agak lumayan, maka tidak ramai yang akan hadir di ceramah Umno atau PAS. Inilah situasi yang
terjadi diperingkat kampong dan daerah dimana ramai penduduknya adalah keturunan Melayu.
Seperti jangkaan, cabutan nombor betuah untuk motosikal dan sebuah kereta Myvi cuma berlaku pada saat akhir acara, iaitu di akhir hari kedua pesta.
Dengan kaedah ini, pengunjung pesta tidak ada pilihan lain kecuali menunggu di tapak pesta sehingga tamat. Inilah bentuk kempen pilihanraya ala Umno/BN terutama di sekitar kawasan luar bandar atau kerusi-kerusi pendalaman sekarang.
Menikam diri
Pesta ini bukanlah satu kesalahan tetapi alangkah liciknya Umno, parti pemerintah sekarang. Parti yang mengaku merekalah yang menolong dan peduli rakyat Melayu tetapi ternyata mempunyai agenda dan motif tersendiri yang boleh dipertikaikan.
Kecenderungan mereka untuk menabur wang ringgit dalam bentuk barangan, begitu ketara demi untuk menunjuk-nunjuk bahawa ceramah mereka masih popular dan ramai yang hadir. Inilah satu kepura-puraan yang bakal menikam diri pada PRU nanti.
Dari sudut ini, ramai yang boleh menghalusi bahawa Umno dan Pas sekarang begitu terdesak dan juga terpengaruh dengan politik wang. Mereka berfikiran yang pengundi Melayu, rata rata boleh ‘dibeli’ maruah dan undi mereka dengan wang ringgit. Ini tersalah langkah, namanya.
Ternyata maruah inilah telah menjadi isu yang lebih besar sekarang. Isu maruah ini banyak disuarakan oleh ramai penceramah Pakatan Harapan di sekitar Kelantan pada masa ini.
Berkait rapat di sini ialah isu tentang maruah kepimpinan orang Melayu terutamanya di Kelantan itu sendiri termasuk juga parti yang memerintah Kelantan sekarang, iaitu PAS, yang mana maruah pemimpin mereka juga banyak dipersoalkan.
Negeri Kelantan yang mana hampir 94 peratus rakyatnya adalah keturunan Melayu juga mempunyai ramai pemimpin Melayu yang boleh dianggap terkenal di peringkat pusat.
Nama-nama seperti Tengku Razaleigh, Datuk Seri Mustapha Mohamad, Datuk Seri Awang Adek dan Tan Sri Annuar Musa adalah beberapa nama yang tidak asing lagi di Kelantan. Tetapi nyata sekali apabila nama mereka disebut, reaksi dari penduduk tempatan tidak lagi ghairah seperti
dahulu.
Terutamanya di dalam mereka menangani isu kemelutan politik negara sekarang yang banyak mempersoalkan tentang ketelusan pemimpin diperingkat pusat, tentang kehilangan wang negara yang didapati melalui bon kerajaan (dan yang dijamin oleh kerajaan pusat), kehilangan wang pinjaman dari tabung amanah wang pencen (KWAP) dan juga wang pensenaraian Felda melalui FGV.
Para pemimpin dari Kelantan ini, kecuali Annuar, masih terus berdiam diri.
Hilang suara
Berkait rapat dengan isu kehilangan wang yang banyak ini, ialah tentang kepincangan maruah kepimpinan Melayu pada amnya dan Kelantan khususnya.
Dunia luar sudah lama memerhati tentang kemimpinan Melayu Malaysia dan beberapa negara telah mengambil tindakan ke atas apa yang telah berlaku terutama tentang pengalihan wang negara yang begitu besar jumlahnya.
Kewibawaan dan kepandaian pemimpin Melayu banyak di persoalkan. Apakah kepimpinan Melayu tidak cekap? Dan keseluruhanya begitu?
Ramai yang tidak percaya. Tetapi hakikatnya mereka mereka ini juga seperti telah hilang suara. Sekiranya perkara yang sama berlaku di negara lain seperti di Japan, Korea Selatan, Singapura atau Indonesia, pemimpin mereka telah lama di pecat atau dihukum.
Banyak negara tidak memberi toleransi dan bersikap tidak apa terhadap kes-kes seperti apa yang
berlaku di Malaysia ketika ini.
Kerana itu, kehilangan suara inilah punca utama yang membuat ramai penceramah menuduh bahawa ketua-ketua parti ini juga telah ‘dibeli’. Lantas, mereka itu seperti hilang upaya untuk bertindak tegas dan menegakkan kembali maruah kepimpinan Melayu melalui parti mereka itu sendiri,
Umno dan PAS, yang sekarang ini ternyata tergugat oleh skandal-skandal tersebut.
Sedangkan negara negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand malah juga Myanmar,
juga sudah tahu dengan apa yang telah terjadi. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui media
massa mereka, baik yang dicetak atau pun di internet.
Mereka tahu banyaknya wang negara yang telah dicuri dan dimasukkan ke akaun peribadi. Mereka juga tahu tentang keborosan pemimpin tertinggi Melayu yang berbelanja dengan begitu hebat dan rakus.
Harta-harta yang terkumpul banyak disenaraikan di media massa mereka dengan nama Jho Low sebagai teraju utama.
Tanggapan dunia luar jelas tidak memihak kepada kepimpinan Melayu. Kerana itu, mengembalikan maruah kepimpinan Melayu adalah perkara pokok yang mesti ditangani melalui PRU terdekat ini, jelas penceramah terbabit.
Maruah masih hidup
Kempen Pakatan Harapan di Kelantan banyak berkisar kepada isu maruah kepimpinan ini.
Bagaimana mengembalikan maruah kepimpinan dengan tidak lagi mengundi calon-calon
Umno atau PAS, kerana mereka secara tidak langsung tidak menolak ketua pemimpin yang
tidak bermaruah dan tidak boleh dipercayai ini.
Rakyat Melayu Kelantan agak di depan dalam persoalan maruah kepimpinan. Ia ada
berkait rapat dengan fahaman keislaman mereka yang mengutamakan kepimpinan yang
bermaruah, amanah dan boleh dipercayai.
Amat jelas mereka tidak lagi mempercayai kepimpinan yang datang berkempen dengan
cabutan nombor bertuah samaada Umno atau PAS. Walaupun mereka hadir berduyun
duyun ke tempat pesta tetapi dari banyak temubual di Tanah Merah, mereka tidak lagi
dapat dibeli hati nurani mereka.
Pemenang hadiah-hadiah lumayan jelas membayangkan bahawa mereka tidak akan
mengundi pemimpin yang memberi mereka hadiah yang cuma datang ke kampung mereka
sekali dalam lima tahun. Ini adalah pancingan, jelas mereka yang tidak menang.
Maka terjawablah persoalan yang timbul dari pesta cabutan nombor bertuah tadi. Apakah
strategi baru Umno dan PAS ini berkesan?
Sememangnya berkesan untuk meramaikan pengunjung ke tapak pesta. Tetapi berlainan
pula kesannya untuk memenangi hati nurani mereka dan seterusnya undian mereka untuk
memilih BN atau PAS di PRU akan datang.
Yang nyata, strategi ini terpesong jauh kerana maruah kepimpinan itu jauh lebih penting
dari sudut pandangan rakyat Melayu Kelantan.
Rupa-rupanya maruah itu masih hidup dan ada nilainya dalam kehidupan dan pilihan politik
mereka.
Hidup Melayu Kelantan!
DR ROSLI KHAN merupakan perunding pengangkutan di Kuala Lumpur dan sering mengembara ke kawasan terpencil untuk menulis berkenaan ekonomi dan politik Malaysia.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

