Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan SPR: Guan Eng terkejut, Azmin sifatkannya pengkhianatan
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 2:47 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut berikutan keputusan speaker Dewan Rakyat melarang anggota parlimen menyiarkan dokumen kajian persempadanan semula pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keputusan Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang dokumen itu disiarkan sehingga Rabu depan (28 Mac) turut mendapat kritikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang menyifatkan langkah itu "pengkhianatan kepada demokrasi parlimen".

Lim juga mendakwa SPR gagal mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.

"Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa sekarang kerana laporan itu telah diembargo. Saya tidak pergi ke Parlimen semalam kerana saya terpaksa menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Di sesetengah negeri, SPR tidak mengikuti saranan sama sekali," kata Lim pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata langkah sedemikian oleh SPR menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti dan kebebasan suruhanjaya itu.

"SPR mesti menjelaskan mengapa mereka memutuskan untuk berbuat demikian, untuk tidak mengikut cadangan dikemukakan oleh negeri dalam pelaksanaan persempadanan semula mereka," kata Setiausaha Agung DAP itu.

'Nafikan hak pengundi'

Sementara itu, Azmin berkata keputusan Pandikar untuk embargo laporan itu menafikan hak rakyat Malaysia mendapat maklumat mengenai daerah mengundi mereka.

"Keputusan speaker untuk embargo Laporan SPR berhubung persempadanan semula di semenanjung Malaysia adalah pengkhianatan yang cukup teruk ke atas jutaan rakyat Malaysia dan demokrasi berparlimen.

"Selaku ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik.

"Maka, perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin turut mengkritik kandungan laporan berkenaan dan mendakwa SPR mencorakkan daerah mengundi berdasarkan garis perkauman menerusi persempadanan semula.

"Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS