Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor bentang kad laporan prestasi Ahad ini
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 3:18 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Kad Laporan Pencapaian Kerajaan Johor 2013- 2018 akan dibentangkan kepada orang ramai Ahad ini.

Unit Media dan Komunikasi (Medkom), Pejabat Menteri Besar Johor menerusi kenyataan berkata pembentangan akan dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di majlis pelancaran jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat.

"Pelbagai maklumat bakal diperoleh menerusi kad laporan itu, termasuk kemajuan yang telah diperkenal dan dilaksanakan kerajaan BN sejak diberi mandat menerajui negeri Johor pada 2013 hingga kini.

"Menariknya, laporan pencapaian itu juga adalah berasaskan prestasi akujanji kepada rakyat sebagaimana yang telah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, yang bertemakan ‘Mensejahterakan Rakyat’," menurut kenyataan berkenaan.

Antara lain, ia melibatkan perumahan dan pemilikan tanah, infrastruktur awam, membasmi kemiskinan, modal insan dan pekerjaan serta kemajuan semasa mengikut aspirasi Johor Berkemajuan.

Kad laporan itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian dan kemajuan semasa kerajaan negeri dalam merencana pelbagai dasar dan agenda untuk kesejahteraan rakyat Johor pada hari ini dan masa hadapan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS