Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata kontraktor mungkin terlepas pandang untuk membuat semula bonggol selepas meratakan Jalan Tebing Timor, Kepong, menjelang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

Jurucakap DBKL berkata, lazimnya kontraktor akan membina semula bonggol selepas meratakan jalan untuk sebarang tujuan.

"Mungkin di kawasan itu kontraktor terlepas pandang," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini sekumpulan penduduk di jalan itu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan tindakan DBKL meratakan jalan dan membuang bonggol di situ yang didakwa mereka hanya kerana lawatan Najib itu.

Jurucakap DBKL itu meminta penduduk menghubungi talian 1-800-88-3255 untuk membuat aduan rasmi berhubung masalah itu.

September lalu, Najib hadir ke kawasan perumahan di situ untuk merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, Jinjang, Kepong Utara.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan jalan tersebut diturap semata-mata untuk program itu.

"Bukan (turap jalan sebab PM datang), siapa pun (menteri atau orang kenamaan) yang datang kita akan turap jalan terbabit selepas dimaklumkan, dan biasanya kontraktor akan bina semula bonggol," katanya.

Kereta dipandu laju

Menurut penduduk, ketiadaan bonggol membahayakan keselamatan orang ramai terutama kanak-kanak yang menggunakan laluan utama tersebut untuk ke sekolah.

Seorang penduduk Yap Chong Soon, 50, berkata beliau sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku di kawasan tempat tinggalnya namun tidak pasti ke mana masalah itu perlu diadukan.

“Jalan ini begitu bahaya sekarang terutama kepada murid sekolah dan orang tua sebab kereta yang melalui jalan ini dipandu laju,” katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Seorang lagi penduduk, Tan Kok Tiong, 35, pula berkata beliau pada mulanya menjangka bonggol tersebut akan dibina semula tetapi ternyata jangkaan itu meleset.

"Kami ingat ia akan dibuat semula (selepas diratakan) kerana papan tanda bonggol sudah ada. Tetapi tunggu punya tunggu sampai sekarang tidak ada," katanya.

Lim berkata pihaknya akan membangkitkan masalah itu kepada DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk tindakan seterusnya.

"Saya juga mahu DBKL memberikan penjelasan kepada penduduk di isini. Kita mahu tahu berapa belanja untuk meratakan jalan ini dan berapa pula yang diperlukan untuk membuat bonggol baru.

“Seseorang perlu memikul tanggungjawab dalam perkara ini,” katanya lagi.