Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: BN mampu rampas kerusi Seremban dari DAP
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Parlimen Seremban daripada DAP pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yakin

Katanya ini berdasarkan kerjasama mantap antara parti komponen BN di bawah pimpinan Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Jentera pilihan raya MCA Negeri Sembilan sudah bersiap lebih awal dan kini sudah mencapai satu tahap yang sangat mantap, bukan sahaja dari segi hubungan akrab bersama parti komponen BN. Kami menganggap semua ini sangat penting untuk memastikan kemenangan mutlak berpihak kepada BN pada pilihan raya umum kali ini.

"Malah, saya rasa kita ada satu visi yang jelas yang kita lihat kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengamalkan satu prinsip yang mereka merencanakan semua agenda pembangunan lebih awal," katanya di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang dan DUN Temiang di Seremban.

Turut hadir Pengerusi MCA negeri Datuk Seri King Lim Chin Fui, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Datuk Abu Ubaidah Redza.

Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sekurang-kurangnya kerajaan negeri mempunyai rancangan jangka panjang untuk melaksanakan Pelan Pembangunan 30 tahun Negeri Sembilan 2015-2045 supaya rakyat dapat menikmati kemajuan dan kesejahteraan.

Malah, katanya, Malaysia Vision Valley (MVV) akan dibangunkan di bahagian barat Negeri Sembilan meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan kawasan seluas 108,000 hektar yang mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.

"Ini yang saya katakan kerajaan negeri mempunyai visi yang jelas dan rakyat harus memberi sokongan pada BN untuk memastikan negeri ini terus membangun dan sejahtera.

"Kami melihat potensi pembangunan dan kami juga hendak memastikan aspek sosial itu akan dijaga khususnya apabila wakil rakyat BN yang boleh 'membawa suara' warga Parlimen Seremban atau di peringkat DUN, saya rasa akan lebih mempermudahkan kerja. Jadi, kami perlu satu pasukan mantap untuk meneruskan agenda pembangunan ini.

"Sekiranya kita meletakkan kepercayaan kepada pembangkang sahaja, tugasnya hanya membangkang. Kita mempunyai calon berwibawa seperti Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban.

"Beliau datang dengan visi yang jelas iaitu bagaimana hendak membangunkan tempat lahirnya dan pelbagai lagi agenda demi kesejahteraan rakyat semua kaum.

"Saya yakin Datuk Chong telah membuat perencanaan rapi untuk semua kaum. Oleh itu, berilah sokongan dan kemenangan kepada calon BN pada PRU14," katanya.

Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan MCA membuat keputusan untuk mencalonkan Senator Datuk Chong Sin Woon dalam saingan merebut kerusi Parlimen Seremban pada PRU14.

- Bernama

Lihat Komen
ADS