Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri dedah mengapa Mahathir berdendam dengan Najib
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 5:55 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mempersoalkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pada usia 93 tidak terlalu tua untuk beliau menjadi perdana menteri sekali lagi.

Ismail, yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah, berkata, Mahathir, ketika berusia 88 tahun, meletak jawatan sebagai pengerusi Petronas atas alasan faktor usia.

"Apakah rakyat harus percaya dia terlalu tua pada usia 88 tahun untuk menjadi penasihat Petronas pada tahun 2013 tetapi masih muda dan cukup sihat pada usia 93 tahun untuk menjadi perdana menteri lagi?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail juga menuduh Mahathir penuh dendam dalam usahanya untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Bukan rahsia lagi, sama seperti Pak Lah (bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi), Najib banyak menolak permintaan Mahathir yang membuatnya marah," katanya.

Menurut beliau, antara perkara-perkara yang Najib lakukan hingga memberangkan Mahathir termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinas Darurat, melaksanakan BR1M dan memberi perhatian lebih kepada kumpulan minoriti.

"Ada banyak lagi permintaan peribadi daripada Mahathir yang Najib tidak bersetuju, seperti menswastakan syarikat penerbangan Malaysia kepada rakannya, operasi pertaruhan sukan sahabatnya diberi lesen untuk beroperasi, Proton diberi geran percuma RM2 bilion serta jambatan bengkok.

"Mahathir juga cukup marah apabila Najib tidak memilih untuk melobi anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz menjadi naib presiden dalam pemilihan Umno, hingga menyebabkannya kalah tipis kepada (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein - kali kedua berturut-turut Mukhriz kalah pada pemilihan Umno," katanya.

Ismail berkata dendam Mahathir itu adalah "permainan berbahaya" untuk negara.

"Saya percaya rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk meletakkan masa depan Malaysia mengatasi dendam peribadi mana-mana individu - tidak kira siapa dirinya" katanya.

Lihat Komen
ADS