Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli tuntut janji Najib bina jalan RM15 juta

Masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang, Cameron Highlands, menuntut janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dua tahun lalu untuk membina semula jalan di sana.

Pada 27 Ogos 2016, Najib menjanjikan peruntukan RM15 juta untuk projek jalan dari Pos Betau ke Pos Lenjang di Sungai Koyan, Pahang.

Namun wakil masyarakat Orang Asli di situ Bah Lai Bongsu berkata kemaskini terakhir yang diterima mereka berhubung jalan itu adalah pada 2017 melalui surat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA).

Beliau berkata surat itu memaklumkan peruntukan untuk membina jalan sepanjang 35km itu tidak mencukupi dan kontraktor meminta peruntukan tambahan.

Pada masa ini hanya ada dua jalan untuk ke 14 perkampungan di Pos Lenjang - jalan utama yang rosak teruk dan jalan pembalakan.

Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands Suresh Kumar berkata keadaan jalan utama terlalu teruk sehingga tidak dapat dilalui kenderaan, menyebabkan penduduk perlu berjalan kaki atau menggunakan jalan pembalakan.

"Untuk ke jalan pembalakan, orang kampung perlu merentasi sungai di persimpangan antara jalan pembalakan dan Pos Lenjang. Untuk ke jalan utama perlu berjalan dua jam lagi," katanya.

Suresh bersama-sama masyarakat Orang Asli kawasan itu ditemui selepas menghantar memorandum di pejabat JAKOA di Kuala Lumpur.

Mereka juga akan menghantar memorandum ke Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kewangan serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menggesa pembinaan segera jalan antara Pos Betau dan Pas Lenjang.

Mengulas lanjut, Bah Lai, yang tingal di Kampung Rakoh, berkata penduduk Kampung Ngening paling teruk terjejas kerana terletak kira-kira 4km daripada persimpangan jalan Pos Betau-Pos Lenjang.

"Daripada persimpangan itu, tiada jalan untuk ke Kampung Ngening kecuali satu lorong kecil," katanya lagi.

Beliau berkata keadaan itu menyukarkan penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan perubatan, dan wanita yang mengandung lapan bulan terpaksa tinggal di rumah transit berhampiran jalan utama Pos Betau.

Pelajar SK Pos Lenjang pula terpaksa tinggal di hostel sekolah kerana mereka tidak boleh berulang-alik dari rumah.

Selain itu, penduduk juga berdepan masalah untuk membawa hasil hutan atau kebun kecil untuk dijual di pasar malam pekan Sungai Koyan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS