Tidak tahan dengan bau busuk, penduduk di Pandan Jaya, di ibunegara mendesak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyelesaikan masalah longkang tersumbat di sekitar premis perniagaan di kawasan itu yang telah berlarutan sejak lebih tiga bulan lalu.

Mereka mendakwa sistem saliran di kawasan berkenaan tidak diurus dengan baik sehingga menyebabkan air longkang bertakung sepanjang masa dan menjadi lebih serius setiap kali musim hujan.

Ekoran itu, saban hari mereka terpaksa menghidu bau busuk dari longkang yang tersumbat dengan sampah sarap dan sisa makanan.

Warga emas Happy Tan, 62 berkata sudah tiga bulan penduduk sekitar menghadapi masalah itu namun tiada tindakan diambil oleh MPAJ walaupun aduan sudah dibuat.

"Ramai pelanggan restoran dan gerai yang mengeluh dengan bau busuk berpunca daripada longkang yang tersumbat.

"Keadaan ini memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan penduduk malahan turut menjejaskan perniagaan terutamanya kedai-kedai makan di sekitar kawasan ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, pekerja kedai makan A.Vigneshwaran, 52, berkata air longkang akan melimpah ke kawasan kedai sehingga menyebabkan ramai pelanggan beredar setiap kali hujan lebat.

"Selain itu, longkang yang tersumbat itu mengeluarkan bau busuk menyebabkan pelanggan tidak selesa," katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Pandan Datuk Leong Kok Hwei berharap pihak MPAJ dapat menyelesaikan masalah sistem saliran di kawasan itu dengan segera bagi mengelakkan masalah lebih serius berlaku.

" Hal ini dibiarkan berlarutan sekian lama dan ini menunjukkan mereka tidak serius untuk menyelesaikan masalah penduduk," dakwa Leong.

Leong juga mahu MPAJ menjelaskan bagaimana mereka menggunakan peruntukkan sebanyak RM60 juta oleh kerajaan negeri bagi kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam setiap tahun.

"Kami mahu MPAJ menjelaskan tentang peruntukan itu dan sekiranya enggan kami tidak akan teragak-membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

- Bernama