Seorang bekas perunding politik Cambridge Analytica (CA) berkata pengurusan syarikat itu mengelirukan orang awam British tentang apa yang dilakukan firma itu untuk kumpulan pro Brexit, sebelum pengundian dibuat untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU), Lapor Guardian pada hari Jumaat.

Brittany Kaiser (foto), pengarah pembangunan perniagaan di syarikat itu dari 2014 sehingga awal tahun ini, berkata dalam satu temubual bahawa CA telah menjalankan penderapan data dan kerja analisis untuk kempen keluar dari EU, tetapi sebaliknya, secara terbuka menafikan ia berbuat demikian.

Maklumat Kaiser itu menambahkan lagi tekanan ke atas firma analisis data itu yang berpangkalan di London, yang sedang menghadapi penelitian semula di Amerika Syarikat dan Eropah atas dakwaan ia secara tidak wajar menggunakan data Facebook untuk menyasarkan pengundi di AS.

Lewat pada hari Jumaat, seorang hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Pejabat Pesuruhjaya Maklumat UK untuk mendapat waran bagi mengeledah pejabat CA.

Badan pemantau perlindungan data itu, dalam satu kenyataan berkata waran itu akan digunakan untuk mengesahkan syarikat itu memadam data dari 50 juta profil Facebook, yang mana seorang pemberi maklumat, mendakwa ia gagal dilakukannya.

Kaiser, yang bertindak sebagai jurucakap CA sebelum dan selepas referendum 2016, berkata dia telah diarahkan oleh syarikat itu untuk menafikan firma itu terlibat dengan isu Brexit.

"Saya sangat yakin bahawa kerja sebenar sedang dijalankan," kata Kaiser dalam temubual video dengan Guardian.

"Tidak, kami tidak menjalankan keseluruhan kempen dan mungkin hasil kerja kami tidak digunakan, tetapi apabila saya bercakap kepada media kita sebenarnya menjalankan kerja data dan analisis untuk kempen keluar dai EU", katanya.

Bulan lalu, Ketua Eksekutif CA, Nix menafikan kepada jawatankuasa parlimen yang syarikat itu menjalankan kerja untuk kempen keluar dari EU, dengan hanya mengatakan bahawa firmanya telah bertemu kumpulan yang berkempen untuk membincangkan potensi perniagaan, tetapi tidak mencapai sebarang perjanjian.

"Biar saya benar-benar jelaskan tentang perkara ini. Saya tidak tahu berapa banyak cara yang boleh saya katakan ini. Kami tidak menjalan sebarang tugas yang dibayar atau tidak dibayar untuk kempen mereka, ok?" kanya kepada jawatankuasa menyiasat berita palsu dalam politik UK.

Lembaga pengarah CA telah mengantung tugas Nix pada hari Selasa, tidak lama sebelum stesen penyiar British Channel 4 mendedahkan tentang amalan perniagaan syarikat itu di Amerika Syarikat.

Arron Banks, penyumbang utama kempen keluar dari EU, menulis dalam "The Bad Boys of Brexit", satu diari kempen yang diterbitkannya, bahawa kumpulan itu telah mengupah CA pada 22 Okt 2015 untuk menggunakan 'data besar dan psikografi terkini untuk mempengaruhi orang'. [Baca berita penuh]

- Reuters