Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata janji Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih Putrajaya ibarat menjilat ludah sendiri.

Abdul Hadi mengingatkan bahawa AUKU diwujudkan ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir bertujuan mengekang kebebasan suara mahasiswa khususnya dalam mencampuri bidang politik.

“Saya komen pendek saja, dia (Dr Mahathir) jilat ludah sendiri,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang mahu memansuhkan AUKU kerana rakyat Malaysia menurutnya kini lebih matang.

“Sekarang ini, rakyat sudah dewasa, sudah faham. Saya fikir tak perlulah kita ada akta ini,” kata pengerusi HARAPAN itu di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sebelum era 80 an, mahasiswa dan pensyarah bebas untuk terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan politik dan kerajaan ketika itu tidak sedikit pun takut atau terkesan.

“Saya sempat berada pada zaman selepas negara mencapai kemerdekaan. Ketika itu tidak ada akta universiti yang mengikat pensyarah dan mahasiswa. Pemimpin politik boleh masuk kampus dan ketika itu kerajaan tak takut ketika itu kita boleh kegiatan di kampus.

“Negara maju di eropah yang juga mengamalkan demokrasi tak bimbang kerajaan di kalangan orang universiti adalah orang yang bijak bukan sahaja pensyarah, termasuk mahasiswa,” katanya.

Namun, kata anggota parlimen Marang itu, keadaan tersebut berubah selepas AUKU.

“Malangnya pada 80an, kita tak tahulah siapa jadi perdana menteri masa itu, wujudkan akta universiti tak benarkan pensyarah dan mahasiswa campur tangan dengan politik.

"Kalau sekiranya yang berpendidikan tidak dibenarkan, adakah nak serahkan kepada yang tak berpendidikan?” soalnya.

Kaji semula laporan

Sementara itu, diminta mengulas berhubung laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan mengkaji semula sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Kita akan kaji semula persempadanan baru ini,” katanya.

Laporan kajian persempadanan semula itu dijangka dibentangkan pada Rabu depan di Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 23 Mac memaklumkan laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah “diletakkan di atas meja” setiap ahli Parlimen.

Bagaimanapun, ia tidak boleh disiarkan mahu pun didedahkan kepada media sehingga dibentangkan pada 28 Mac.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Marang itu berkata, yang lebih penting adalah memastikan proses pilihan raya akan datang berlangsung adil.

“Apa yang penting adalah demokrasi berlaku dengan cara yang lebih baik dan adil,” katanya.

'Tugas dah selesai'

Dalam sidang media sama, Abdul Hadi mengulangi kenyataannya sebelum ini apabila ditanya sama ada usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) akan sekali lagi dibangkitkan.

Menurut Abdul Hadi, tugasnya telah selesai dan proses seterusnya merupakan tanggungjawab kerajaan.

“Itu tugas kerajaan. Saya dah bawa ke parlimen dan (tugas untuk) menentukan bila ia akan bahas itu terpulang kepada speaker, terpulang pada budi bicara dia.

“Seorang menteri kabinet membawa usul dan megizinkan usul itu dibawa. Serah kepada kerajaan. Dan dia dah benar bawa, bila dia nak bahas, nak undi itu urusan kerajaan.

“Apa yang penting adalah kita dah berjaya melonjakkan RUU 355 ini melalui usul yang pertama kerana usul mestilah memenuhi syarat-syarat yang pertama terlebih dahulu,” katanya.

Lihat Komen
ADS