Penduduk Tanjung Dawai teruja tunggu PM
Warga Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, teruja menantikan kedatangan pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan berkunjung ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, Isnin ini.
Siti Nor Salwa Md Noor, 36, berkata Perdana Menteri pernah berkunjung ke Tanjung Dawai pada 2012, namun tuntutan tugas menyebabkan dia tidak berkesempatan bersama menyambut kedatangan Najib.
"Bila dimaklumkan bahawa pemimpin nombor satu negara akan turun ke Dun Tanjung Dawai, saya rasa teruja dan gembira, kali ini saya dapat turut sserta menyambut kedatangan beliau ke sini," katanya kepada Bernama, di Sungai Petani, hari ini.
Sementara itu, warga emas Jaafar Ismail, 68, pula berkata dia turut teruja bahkan mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke Dun Tanjung Dawai.
"Perdana Menteri pernah turun ke pekan Tanjung Dawai untuk bersama-sama masyarakat di sini, namun atas faktor kesihatan saya tidak berkesempatan menyertai majlis itu.
"Bila mendapat berita bahawa Perdana Menteri akan turun sekali lagi ke Tanjung Dawai, kami rasa gembira malah berbesar hati untuk menjemput beliau singgah sebentar di teratak kami di Kampung Sungai Pial," katanya.
Sementara itu, lain pula kisahnya dengan peniaga ikan pekasam secara kecil-kecilan, Hapesah Abas, 67, yang sudah menetap di kampung terbabit sejak 42 tahun lalu.
"Jarang sekali berpeluang bertemu dengan pemimpin negeri atau negara. Teringin juga nak jumpa Perdana Menteri, namun saya menghidap penyakit darah tinggi dan mungkin tidak dapat bersama-sama menyambut kehadiran beliau," katanya.
Bagaimanapun beliau gembira melihat persiapan sambutan ketibaan pemimpin nombor satu negara itu.
Pada Isnin ini, Najib dalam lawatan seharinya ke negeri ini dijadual akan merasmikan perumahan nelayan Muafakat Kedah di Perumahan Nelayan, Kampung Huma, Tanjung Dawai di Sungai Petani, kira-kira 11.30 pagi.
Sebelum itu, Perdana Menteri turut akan meluang masa bersarapan pagi bersama penduduk setempat di Pantai Murni, Yan.
-Bernama

