Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya nak jual kereta, tapi muncul reformasi'
Diterbitkan:  Mar 25, 2018 10:32 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

CALONKINI I Sebagai seorang remaja di Johor Bahru, Naim Jusri memasang impian untuk memiliki perniagaan sendiri satu hari nanti dengan menjual kereta atau aksesori kenderaan.

Tetapi segala-galanya berubah pada tahun 1998 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim - individu yang selalu dilihat Naim membentangkan belanjawan di kaca TV - dipecat oleh bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Negara ketika itu gawat dan maklumat dari luar negara membuka mata Naim yang ketika itu baru berusia 15 tahun.

"Kami berada di Johor Bahru, jadi kami mendengar radio BBC dan Channel News Asia, maklumat yang sampai dari Singapura membuka mata.

"Saya dan keluarga pergi ke Dataran Merdeka untuk menyertai protes. Saya masih ingat, lautan manusia di Masjid Negara melaungkan 'Reformasi' dan 'Undur Mahathir'," kata Naim kepada Malaysiakini dalam temu bual di Muar pada 16 Mac.

Ia merupakan detik yang mengubah hidup bagi anak jati Muar itu untuk menyertai PKR 10 tahun kemudian selepas tercetusnya tsunami politik pada 2008.

Naim bekerja dengan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan sejak 2014 hingga 2015 beliau merupakan ahli majlis di Shah Alam.

Kini pada usia 35 tahun dengan empat cahaya mata, Naim merupakan calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Balang di Muar.

Kerusi Sungai Balang kini disandang oleh Zaiton Ismail, yang menang pada 2013 dengan majoriti 1,635 undi.

Naim berharap pengalamannya di Selangor, manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) serta sentimen terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan membantu beliau dalam pilihan raya kali ini.

Inilah kisah yang diceritakan sendiri oleh Naim.

SESIAPA YANG MENYOKONG NAJIB seperti anggota parlimen Muar (Datuk) Razali Ibrahim akan membawa lebih banyak kerosakan kepada negara kita.

Inilah sebabnya mengapa kita perlu menolak BN walaupun kita mungkin fikir banyak yang telah dilakukan oleh calon mereka, tetapi BN adalah parti yang menyebabkan kehancuran kepada negara kita.

MUAR KUNCI KE PUTRAJAYA kerana jika kita boleh menang di Muar, kita boleh tukar kerajaan di Nusajaya dan di Putrajaya dan menukar Perdana Menteri dari Najib kepada Mahathir.

MAHATHIR KINI SEBAHAGIAN REFORMASI  pada tahun 2003 kami memaksanya meletakkan jawatan walaupun beliau kata ia dibuat secara sukarela dan sekarang beliau terlibat dalam membentuk semula negara ini.

JOHOR SEDIA BERUBAH agar HARAPAN dapat mengambil alih pentadbiran dalam pilihan raya akan datang.

MUAR ADA BANYAK POTENSI tetapi anak muda terpaksa berhijrah ke Singapura atau Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Kami mahu pengundi di Muar, anak-anak mereka tinggal berdekatan kerana ada pekerjaan di sini. Kita boleh bina industri pelancongan seperti Melaka, terdapat banyak sejarah di Muar yang kita dapat memanfaatkan.

INI ADALAH SATU CABARAN tetapi sebagai anak muda, kami perlu menghadapi cabaran walaupun mustahil

KAMI MAHU RAKYAT UBAH tidak kira siapa bertanding, kami mahukan perubahan di Johor. Itu matlamat saya.

MAHU JADI SEPERTI ANWAR DI MASA DEPAN dan bagaimana beliau telah merintis jalan bagi para belia. Dari muda, saya merasakan beliau adalah role model bagi golongan belia. Ketika saya di tingkatan dua, saya menonton beliau membentangkan belanjawan. Pada masa itu Malaysia adalah Tiger of Asia. Beliau adalah contoh untuk golongan muda.

BUKAN DATANG DARI KELUARGA POLITIK. Ibu bapa saya aktif dalam NGO, mereka merupakan anggota Jamaah Islah Malaysia (sekarang Ikram). Keluarga banyak membantu saya dan memberi banyak pendedahan. Kami saling bertukar-tukar pandangan, kebimbangan kami adalah mengenai masa depan rakyat dan negara.Orang-orang yang memberi kekuatan kepada kita untuk maju adalah keluarga dan rakan-rakan.

MUNGKIN BUKA KEDAI SENDIRI tapi cita-cita itu masih jauh. Untuk kembali kepada perniagaan merupakan sesuatu yang perlu dipertimbangkan, dan semangat saya sekarang adalah untuk membantu rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS