Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi 'pak turut' kerajaan dan mengatakan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

"Ada juga yang melahirkan persepsi serong melabelkan PDRM kononnya pak turut kerajaan, makan gaji buta, dan kadar jenayah semakin meningkat.

"Ini semua adalah tuduhan-tuduhan yang tidak berasas sama sekali," katanya ketika berucap pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pagi ini.

Sebagai contoh, Najib berkata seorang "bekas pemimpin berusia 93 tahun" mendakwa polis mendorong beliau memecat timbalan perdana menteri pda 1998.

Ini jelas merujuk kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mac lalu bahawa bekas perdana menteri itu memecatnya timbalannya, Datuk Seri Anwar berdasarkan maklumat yang diberikan oleh polis.

"Kenyataan tersebut telah pun dijawab oleh bekas orang kuat PDRM iaitu Tan Sri Rahim Noor yang juga ketua polis negara pada ketika itu," kata Najib yang turut memetik kenyataan Rahim Noor

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata indeks jenayah menurun sebanyak 13,186 kes (11.7 peratus) tahun lalu berbanding 2016.

Dalam tempoh sama, jenayah kekerasan menurun sebanyak 960 kes (4.3 peratus), manakala jenayah harta turun sebanyak 12,226 kes (13.6 peratus), katanya.

Bagi tahun ini sehingga 15 Mac, beliau berkata indeks jenayah menurun sebanyak 9.7 peratus, jenayah kekerasan sebanyak 16.2 peratus, dan jenayah harta sebanyak 7.9 peratus.

Beliau juga berkata polis telah menahan 389 suspek yang terlibat dengan kumpulan militan IS, termasuk tujuh tangkapan yang dilakukan antara 27 Feb dan 15 Mac.

"Pun begitu, fenomena fear of crime masih lagi membelenggu masyarakat.

"Justeru, PDRM akan melipatgandakan lagi program bersama komuniti yang bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat, malah berupaya meningkatkan lagi kesedaran dan tanggungjawab umum untuk sama-sama mencegah serta membanteras jenayah," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Fuzi berkata orang ramai tahu bahawa jenayah menurun tetapi merasakan masih terdapat kelemahan yang perlu ditangani polis.

Justeru itu, beliau berkata pihak polis akan terus melibatkan orang ramai dan menyakin mereka bahawa pasukan keselamatan itu sentiasa berusaha keras untuk mengurangkan kadar jenayah.

 

Lihat Komen
ADS