'K'jaan P Pinang alih isu terowong kepada 1MDB'
Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik BN Eric See-To mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang cuba mengalihkan perhatian daripada skandal terowong dasar laut kepada isu 1MDB.
"Ini adalah taktik yang jelas oleh kerajaan Pulau Pinang untuk mengalihkannya kepada 1MDB supaya mereka dapat mengelak daripada menjawab atau berdebat dengan (timbalan presiden MCA) Wee Ka Siong mengenai skandal terowong di mana RM22 juta sudah dibayar dalam usaha untuk menghentikan siasatan rasuah," katanya. .
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap cabaran Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy kepada Wee baru-baru ini.
Ramasamy sebelu ini berkata beliau ingin membeli tanah di Kuala Lumpur dengan harga yang dibayar oleh 1MDB untuk mendapatkan tanah Tun Razak Exchange (TRX).
Kenyataan itu dibuat selepas Wee mencabar Ramasamy menjual tanah tepi laut di Persiaran Gurney di Pulau Pinang dengan RM475 sekaki persegi.
Bagaimanapun, See-To mendakwa terdapat perbezaan antara kedua-dua isu tersebut iaitu:
1. Tanah di bawah nilai pasaran di Pulau Pinang dipindahkan 100 peratus kepada syarikat swasta. Tanah TRX dipindahkan kepada 100 peratus syarikat milik kerajaan.
2. Tiada kos penempatan semula ditanggung pemaju dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang manakala 1MDB perlu membayar semua kos penempatan dan pampasan bagi penduduk di tanah tersebut.
3. Syarikat swasta berkenaan hanya menunggu masa dan mendapatkan keuntungan daripada kenaikan nilai tanah kerana pembinaan terowong itu hanya akan dijalankan 10 tahun selepas kontrak ditandatangani.
4. Kerajaan Pulau Pinang akan membelanjakan RM9 bilion wang negeri untuk memperoleh 100 peratus tanah milik persendirian. Sedangkan sebagai syarat jualan, 1MDB perlu membayar kos infrastruktur RM3 bilion termasuk lebuh raya bawah tanah daripada TRX.
5. Benefisiari utama projek Pulau Pinang adalah 100 peratus SPV (syarikat tujuan khas) manakala benefisiari utama projek TRX adalah 100 peratus syarikat milik kerajaan.

