Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan sentiasa menghargai sumbangan dan memperjuangkan kebajikan angota polis di negara ini.

Katanya, komitemn itu berbeza dengan kenyataan anak seorang pemimpin pembangkang yang antara lain mahu memecat pegawai tinggi kerajaan apabila berkuasa.

"Ini termasuk kenyataan anak kesayangan beliau yang mahu memecat semua pegawai tinggi kerajaan hari ini sekiranya parti itu memerintah selepas PRU14.

"Tuan-tuan dan puan-puan, berlainan dengan pihak kerajaan, kita sebaliknya sentiasa menghargai sumbangan anggota PDRM dan saya ingin menyatakan bahawa kepentingan dan kebajikan anggota PDRM akan terus diperjuangkan oleh kerajaan yang sedia ada,"katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-211 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dilaporkan berkata pada 18 Mac bahawa semua pegawai tinggi kerajaan akan dipecat dalam masa 30 hari selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa.

Ini kerana menurut Mukhriz mereka melampaui batas apabila melindungi "penjenayah" dan bukannya kepentingan rakyat.

Sementara itu, Najib berkata RM15 juta akan diperuntukkan untuk membaiki kuarters polis di Pulapol,  Kuala Lumpur.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memperuntukkan RM1.5 bilion menerusi Skim Pelaburan ASB i-KOP yang akan memberi manfaat kepada semua anggota termasuk pesara polis.

[Baca berita penuh]