Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Ekonomi negara berjaya walau keadaan tak menentu

Ekonomi negara berjaya meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata walaupun dengan suasana ekonomi yang tidak dapat diramal, negara berjaya mencapai sasaran Indeks Prestasi Utamanya (KPI) untuk membangunkan ekonomi.

“Kita masih dapat mencatatkan 5.9 peratus pertumbuhan ekonomi walaupun berdepan turun naik mata wang, pasaran komoditi dan suasana geopolitik yang tidak menentu.

“Untuk membangunkan prasarana, sesebuah negara perlu mempunyai modal yang perlu, untuk itu kita telah melakukan dengan baik,” kata Johari pada taklimat media selepas merasmikan Persidangan Wilayah Persekutuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) , di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan naib presidennya Datuk Kamarudin Ismail.

Johari diminta mengulas mengenai pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata koperasi telah menyumbang sebanyak RM140 bilion kepada ekonomi negara sehingga tahun ini.

“Setiap tahun apabila kita bentang belanjawan, kita memperuntukkan dana untuk membantu usahawan di negara ini, untuk melahirkan lebih banyak perniagaan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Johari berkata koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata Angkasa boleh membantu graduan meneroka dunia perniagaan untuk mewujudkan konsep “usahawan melahirkan usahawan” sebagai pembuka jalan.

“Ramai graduan hari ini tidak mempunyai pekerjaan, pasaran pekerjaan adalah sukar, justeru itu graduan ini boleh menimbang untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Johari berkata untuk mencapai kemajuan, ekonomi negara perlu berpegang kepada kepada empat prinsip, iaitu kestabilan politik, mengekalkan sistem kewangan stabil, pendidikan yang baik dan negara yang kukuh.

-Bernama

Lihat Komen
ADS