Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Perpecahan Umno di Titiwangsa kerana rebut kerusi'
Diterbitkan:  Mar 26, 2018 8:29 AM
Dikemaskini: 9:27 AM

Tuduhan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaitkan pembangkang dalam isu sabotaj terhadap anggota parlimen Titiwangsa jelas berniat jahat, kata Penolong Setiausaha Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.

Syed Badli berkata isu itu berpunca daripada perpecahan dalam Umno sendiri akibat rasa tidak puas hati terhadap Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai anggota parlimen di kawasan itu.

"Saya percaya berlaku perpecahan dalaman Umno di Titiwangsa kerana isu perebutan kerusi.

"Malah tindakan pihak-pihak tertentu yang menaikkan sepanduk provokasi menolak Johari itu juga mungkin berpunca dari akar umbi Umno yang tidak berpuas hati terhadap prestasi beliau sebagai ahli parlimen," katanya dalam satu kenyataan media.

Syed Badli yang merupakan anak jati Kampung Baru berkata, terdapat khabar angin bahawa akar umbi Umno mencadangkan nama Ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah, Datuk Razlan Rafi menggantikan tempat Johari di Titiwangsa.

"Jika benarlah khabar angin ini, bermakna berlaku perpecahan teruk dalam Umno di Titiwangsa dan tidak mustahil tindakan provokasi sepanduk mensabotaj Johari itu datangnya dari Umno sendiri.

"Ini juga bermakna bahawa kredibiliti Johari sebagai Menteri Kewangan kedua tercalar teruk," katanya.

Sabtu lalu, Tengku Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah menafikan masalah dalam BN dan menyalahkan pembangkang kerana dakwaan sabotaj yang dilakukan terhadap Johari.

“Tiada sebarang masalah yang berlaku dalam BN. Segala sabotaj atau fitnah ini semua kerja-kerja pembangkang, sudah tentu mereka akan menuduh kami (BN) ada masalah dalaman.

“…sekarang musim Pilihan Raya Umum, pasti macam-macam berlaku,” katanya.

Johari calon terbaik

Sementara itu, Mohd Razlan dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata, Johari adalah yang calon terbaik dan paling layak.

Katanya, seperti lazimnya, kerja pembangkang adalah melaga-lagakan rakyat, bukan hanya parti politik.

“Bab calon Titiwangsa, Datuk Johari Ghani adalah yang terbaik dan paling layak serta ukhwah di Titiwangsa amat baik, budak-budak yang buat naik poster dan pakai baju pun bukan dari kalangan ahli Umno, siapa lagi kalau tidak pembangkang seperti Syed Badli yang mungkin menjadi dalang segala gerakan tidak bermaruah ni.

“Jadi, saya nasihatkan Badli agar berunding dengan Wan Saiful Wan Jan dan (Pengerusi BERSATU) Dr Mahathir (Mohamad) berkenaan kerusi Titiwangsa yang tak sudah-sudah menjadi rebutan.

“AMANAH nak, PKR nak, Bunga Raya (BERSATU) nak, elok kasi DAP la bertanding, baru membawa HARAPAN,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, menenjelang musim pilihan raya ini bermacam-macam pembangkang akan cuba buat demi untuk kemenangan walaupun ini akan merosakan moral dan maruah rakyat.

“Sekarang ni ada undang-undang anti fitnah, saya harap akan ada lebih ramai ahli parti pembangkang dikenakan hukuman,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS