Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU antiberita tidak benar peruntuk denda RM500,000, penjara 10 tahun
Diterbitkan:  Mar 26, 2018 11:24 AM
Dikemaskini: 5:11 AM

PARLIMEN l Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dicadangkan kerajaan memperuntukan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Selain hukuman, mahkamah juga boleh memerintah pesalah memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara terbuka di mahkamah ataupun melalui akhbar.

Rang undang-undang itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhan adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea" .

Hukuman sama juga boleh dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan penghasilan berita tidak benar itu.

Jika disabit, pemberi dana turut boleh didenda sehingga RM500,000 ataupun penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, ia juga membenarkan mahkamah memerintah mana-mana pihak terlibat untuk menghapus penerbitan yang mengandungi berita tidak benar, dan mereka yang ingkar boleh didenda sehingga RM100,000 manakala denda RM3,000 tiap-tiap hari akan dikenakan selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Seksyen 6 rang akta itu pula menyatakan bahawa menjadi kewajipan bagi mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan atau jagaan atau kawalannya apa-apa penerbitan yang mengandung berita tidak benar untuk menghapuskan penerbitan itu dengan serta merta.

Antara peruntukan penting yang dicadangkan RUU itu ialah Akta itu apabila dikuatkuasakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak sama ada warganegara atau warga asing yang melakukan kesalahan berita tidak benar terhadap Malaysia atau warganegara Malaysia, di luar Malaysia, seolah-olah ia telah dlakukan di dalam Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS