Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO pro-PAS nafi forum balas dendam terhadap Dr M

Penganjur forum “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" menafikan majlis berkenaan diadakan bagi membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat kejutan dengan menerjah sebuah forum lain minggu lalu.

Timbalan pengarah forum berkenaan Abdul Shakur Sharrie sebaliknya berkata, sekiranya Dr Mahathir menjadi panelis forum berkenaan, maka kemungkinan bekas perdana menteri 22 tahun itu mampu memberi sudut pandang berbeza.

“Tak timbul isu balas dendam, kita sediakan tempat sekali, budaya berforum adalah budaya yang perlu kita sebarkan kepada masyarakat. Ini bukan perangkap atau tidak.

“Forum sebelum ini bagi saya, forum membincangkan tajuk Tun Mahathir sebagai Perdana menteri dan dia (Dr Mahathir) hadir tanpa pengetahuan mereka (panelis).

“Kalau Tun Mahathir jadi panelis duduk didepan (atas pentas) mungkin hujah adalah berbeza, kita behadapan secara terang-terangan dan boleh tanya berterus terang,” katanya kepada Malaysiakini.

Forum anjuran NGO pro PAS itu dijadualkan pada Khamis ini di Dewan Purnama Pengekalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.

Forum itu adalah rentetan daripada forum wacana Sinar Harian “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?” minggu lalu yang turut dikejutkan dengan kehadiran Dr Mahathir sendiri.

Siri wacana itu disertai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Manakala panelis yang akan turut serta pada forum “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" adalah Kamarul Zaman, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari, dan Ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) CheguBard.

Ahmad Shakur ketika ditanya mengapa hanya penganjur menjemput Kamarul Zaman sahaja dari forum Wacana Sinar dan tidak dua lagi panelis yang sebelum ini lantang membela Dr Mahathir berkata:

“Kita tawarkan platform panelis kepada anak muda, sebelum ni ada ahli akademik dan cikgu fitnest tapi forum akan datang ini dari orang muda, Kamarul pun orang muda juga. Kita memberi platform kepada Tun Mahathir jawab secara langsung,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Shakur hari ini menghantar surat jemputan sebagai panelis kepada Dr Mahathir di Ibu Pejabat BERSATU.

Abdul Shukur dalam surat serahannya berkata, beliau difahamkan Dr Mahathir mempunyai program lain pada tarikh dan waktu berkenaan bagaimanapun, beliau berharap agar Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh menghantar wakilnya.

Lihat Komen
ADS