Uber Technologies Inc bersetuju menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab, sekali gus menamatkan persaingannya dengan perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi itu.

Berdasarkan perjanjian, Grab akan memiliki kesemua operasi Uber dengan 620 juta pengguna, termasuk perkhidmatan perkhidmatan makanan UberEats, lapor Bloomberg.

Sebagai balasan, Uber akan mendapat 27.5 peratus pegangan dalam Grab dan ketua pegawai eksekutifnya akan dilantik dalam lembaga pengarah Grab yang berpangkalan di Singapura.

Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat terpaksa menarik diri dari pasaran Asia Tenggara bagi mengurangkan kerugian menjelang penawaran awam awal di bursa tahun depan.

Grab, yang memulakan perkhidmatan di Kuala Lumpur pada 2012 kini mendominasi pasaran di rantau ini.

Syarikat itu kini bernilai AS$6 bilion dengan 86 juta aplikasi dimuat turun di 91 bandar di seluruh Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Cambodia.