Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia berkata Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar yang menyasarkan penyebar berita palsu akan menyekat media.

"RUU itu mempunyai kesan yang meluas kepada media kerana hukuman berat yang dikenakan terhadap sumber, penerbit dan pembiaya selain boleh memaksa sesebuah organisasi media memadam artikel.

"Meskipun sasaran RUU itu adalah pihak yang membuat berita palsu, organisasi media juga berkemungkinan disekat," kata Setiausaha Agung NUJ Chin Sung Chew.

Chin menjelaskan bahawa Seksyen 8(3) undang-undang yang dicadangkan itu membolehkan kerajaan mengarahkan bahan yang dianggap prejudis kepada keharmonian awam atau keselamatan negara dipadam.

Tambahnya, arahan seperti ini tidak boleh dicabar di mahkamah.

"Kita sangat bimbang jika pihak mempunyai kuasa yang tidak boleh dipersoalkan untuk memadam artikel yang tidak dipersetujuinya memandangkan ia mudah disalah guna," jelasnya.

Chin turut menyatakan kebimbangan terhadap hukuman berat yang dicadangkan sehingga 10 tahun penjara dan denda RM500,000.

"NUJ mempersoalkan kenapa RUU itu mempunyai hukuman lebih berat berbanding undang-undang sedia ada yang berkaitan isu serupa," katanya.

Monopoli definisi berita palsu

Sementara itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut berkongsi kebimbangan sama.

Kumpulan wartawan itu percaya definisi "berita palsu" dalam RUU itu terlalu luas dan mudah disalahgunakan bagi mengekang kebebasan media dan kebebasan bersuara.

"Walaupun RUU berkenaan dijangka akan diluluskan pada hujung minggu ini, Geramm menyeru kepada semua pihak untuk menyertai kempen online kami melalui Twitter, sebagai satu cara menuntut kembali hak demokrasi.

"Kerajaan tidak seharusnya dibenarkan memegang monopoli ke atas definisi berita palsu," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

RUU yang dibentang di Parlimen hari ini mentakrif "berita palsu" sebagai "sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain."

Sementara itu, Geramm juga memaklumkan akan melancarkan kempen menentang RUU Anti-Berita Palsu #FakeNews dengan hashtag #twoplustwo.

Sebagai kumpulan memperjuangkan hak wartawan dan pengamal media, tambah kenyataan itu, Geramm percaya senjata utama menentang "berita palsu" adalah dengan memperkasa hak kebebasan maklumat.

"Dalam hal ini, semua pihak sama ada dari kerajaan, pembangkang, ataupun swasta seharusnya berkomitmen bagi menghormati hak media untuk bertanya soalan terkait isu kepentingan awam dan bukannya menyekat akses kepada maklumat serta berselindung di sebalik peruntukan berita palsu.

"Dengan ini, kami menggesa semua #kawangeramm untuk retweet pesan-pesan dari akaun Twitter @mediageramm bermula jam 10 pagi besok (27 Mac) sehingga tamat sidang pembahasan RUU Anti-Berita Palsu, dengan tujuan agar perkara dibangkitkan dapat dibawa dalam sesi tersebut," katanya.

[Baca berita penuh]