Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perang dagang AS-China akan jejaskan Malaysia'

Negara-negara Asia yang dipacu oleh eksport seperti Malaysia boleh terjejas jika perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berlaku, kata Ahli Ekonomi United Overseas Bank (Malaysia) Bhd Julia Goh.

“Bagi Malaysia dan mana-mana negara eksport lain, kita terperangkap jika ketegangan perdagangan semakin meningkat. Tiada yang terkecuali, terutamanya negara-negara Asia yang lebih terbuka dan bergantung kepada perdagangan,” katanya.

China dan AS menyumbang 25 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump menandatangani memorandum presiden yang akan mengenakan tarif sehingga US$60 bilion ke atas import dari China dan sekatan yang bertujuan mencegah syarikat dan dana yang dikuasai China untuk mengambil alih firma dengan teknologi sensitif AS.

Pasaran saham Asia goyah dengan berita tersebut dengan petunjuk pasaran Bursa Malaysia FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 11.26 mata lebih rendah kepada 1,853.96 daripada 1,865.22 semasa ditutup pada Jumaat.

Impak tidak terhad kepada Asia

Ia dipengaruhi oleh penurunan di seluruh papan dengan ketidaktentuan dalam menghadapi perang perdagangan AS-China yang semakin meningkat.

Pada 3.41 petang, indeks meningkat semula kepada 1,860.45, susut 4.77 mata.

Goh berkata impak tersebut tidak terhad kepada Asia sahaja, berikutan pengenalan tarif perdagangan AS dan kemungkinan percambahan dasar perdagangan bersifat perlindungan juga boleh memberi kesan kepada eksport global dan aktiviti perdagangan.

“Jika hubungan perdagangan global merosot secara mendadak, hasilnya boleh menjadi dolar US yang lebih kukuh apabila pelabur beralih kepada aset selamat," katanya.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Goh berkata Malaysia dijangka menerima lebih banyak pelaburan selepas pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

“Pada dasarnya, keadaan dalam negeri masih stabil. Kami melihat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada tahun lepas serta ringgit stabil dan kukuh.

“Pada umumnya saya fikir, kita perlu menjangka lebih banyak FDI dan pelaburan portfolio yang akan masuk selepas pilihan raya,” katanya.


-Bernama

 

Lihat Komen
ADS