Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman membidas artikel oleh bekas Duta Malaysia Datuk Dennis Ignatius, menyatakan isi kandungannya "penuh dengan tuduhan liar dan tidak berasas, bersandarkan kemarahan tanpa fakta sahih, pandangan-pandangan yang dimomokkan sebagai fakta-fakta".

Mengambil contoh artikel Ignatius bertajuk ‘GE14: Last Chance for Change’ (PRU14: Peluang Terakhir Untuk Perubahan) yang mendakwa ketidakcekapan luar biasa kerajaan dan keborosan menguruskan fiskal, beliau menegaskan defisit fiskal telah dikurangkan lebih separuh daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3 peratus pada tahun lepas.

Berhubung dakwaannya bahawa “Dan walaupun Kuala Lumpur mempunyai lebih ramai jutawan dari Abu Dhabi, 90 peratus di luar bandar, kebanyakannya isirumah Melayu, mempunyai sifar simpanan," Anifah berkata adalah tidak mengejutkan Kuala Lumpur mempunyai lebih ramai jutawan daripada Abu Dhabi berikutan ekonomi Malaysia berkembang dengan amat baik, dan populasi Malaysia adalah sebanyak 31 juta berbanding 1.4 juta penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Baca pautan berkaitan: GE14: Last Chance for Change


"Bagi angka 90 peratus, ini tidak masuk akal langsung. Mana-mana pekerja di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya, sama ada akaun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau pencen. Lagipun, kerajaan juga berusaha untuk menambah baik pendidikan pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini bagi menyangkal artikel Ignatius bertarikh 21 Mac, 2018.

Anifah turut mempersoalkan dakwaan Ignatius dalam artikel itu bahawa "majoriti pekerja muda tidak memperoleh pendapatan yang cukup untuk hidup dengan selesa”.

Saya musykil di mana beliau mendapat maklumat itu. Saya juga mempersoalkan tindakannya menggunakan terma seperti “majoriti” dan “hidup dengan selesa”.

"Kita semua mengakui bahawa kecuali seseorang itu dirahmati dengan ibu bapa yang kaya, semua pekerja muda berdepan situasi yang mencabar, namun bagi ramai daripada golongan muda Malaysia, wira kita yang senyap, mereka meneruskan kehidupan seperti biasa, memperbaiki diri mereka sendiri dan negara kita,” katanya.

Anifah turut mengingatkan Ignatius bahawa kritikan tidak wajar beliau terhadap kerajaan, tidak henti-henti merungut dengan menyatakan masa dahulu adalah lebih baik, tidak dapat diterima oleh pegawai-pegawai di Wisma Putra.

"Mereka berbangga dengan pencapaian-pencapaian Wisma Putra, dan diri saya sendiri, antara mereka semua. Mereka berbangga dengan pelaburan-pelaburan yang mengalir masuk ke dalam negara, hasil daripada lawatan peringkat tinggi, khususnya perdana menteri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa antara 2011 dan 2017, pelaburan bernilai RM1.8 trilion dicatatkan, mengatasi sasaran awal RM1.4 trilion ditetapkan dalam Pelan Program Transformasi Nasional (NTP).

Anifah berkata Wisma Putra bangga bahawa di bawah kepengerusian Malaysia, Komuniti ASEAN diwujudkan pada 2015 dan ASEAN terus memainkan peranan penting di rantau itu di sebalik begitu banyak cabaran strategik.

“Hubungan Malaysia dengan jiran-jiran kita dan kuasa-kuasa besar pada setiap masa adalah baik, membolehkan kita menjana pelbagai faedah ekonomi dan memainkan peranan lebih aktif dan konstruktif dalam hal ehwal strategik,” katanya.

Walaupun pernah berkhidmat sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia memperoleh 187 daripada 194 undi dalam pemilihan pada 2014, menjamin keanggotaannya bagi 2015–2016, katanya.

"Ini merupakan bukti dan pengesahan pengiktirafan tinggi oleh seluruh komuniti antarabangsa terhadap negara kita.

'Pusingan U Dr M'

“Banyak lagi kejayaan yang saya boleh tampilkan, tetapi sejujurnya, saya ada kerja yang perlu dilaksanakan. Menghabiskan terlalu banyak masa pada blog-blog seperti ini mengganggu Kementerian Luar daripada menjalankan tugas pentingnya dalam melindungi kepentingan negara,” kata Anifah dan menurutnya jika terlalu banyak masa ditumpukan pada blog-blog, ia adalah tidak adil kepada kebanyakan petugas di Wisma Putra yang bekerja keras, kreatif dan patriotik.

Berhubung tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat pusingan U, dengan Ignatius menyatakan "membayangkan bahawa beliau akan mengotakan komitmennya terhadap “reformasi’, ia merupakan ‘perjuangan’ terakhirnya dan beliau mahu membetulkannya”, Menteri Luar itu berkata ia jelas naif dan dangkal.

"Tiada apa yang nyata untuk menunjukkan akan hakikat itu; Tun Dr Mahathir hanya mahu memberikan bayangan bahwa kesalahan di masa lalu bukan perbuatannya – beliau hanya mengikut nasihat. Beliau tidak memberikan apa-apa bayangan yang beliau akan berubah. Adakah ini sikap lelaki yang telah berubah, komited terhadap “reformasi”?,” soal beliau.

Berhubung hujahan Ignatius bahawa “dalam kes (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim-Penasihat PKR), Mat (Mohamad) Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Lim Kit Siang (pemimpin DAP) akan berada di sana untuk memastikan tiada siapa mengganggu agenda reformasi”, Anifah berkata ini bermakna sekiranya pembangkang menang, masa dan tenaga mereka akan dihabiskan untuk mencurigai satu sama lain, menjamin ketidakstabilan dan huru-hara selama lima tahun.

"Sekiranya Dato’ Dennis (Ignatius) masih berkhidmat dan analisis ini termasuk dalam laporan politiknya, laporan itu akan segera dibuang ke dalam bakul sampah; penghakiman, kewibawaan dan objektif beliau juga akan dipersoalkan.”

Anifah berkata beliau bersetuju dengan Ignatius dalam satu perkara – pembangkang berdepan dengan tugas sukar berikutan ketidakcekapan mereka sendiri dalam mentadbir negeri-negeri di bawah kawalan mereka, wujud kekalutan dan kecelaruan dalam pakatan pembangkang.

“Sokongan rakyat adalah kepada kerajaan, sedar akan kecekapan, kedudukan tinggi di peringkat antarabangsa dan komitmen kerajaan untuk menambah baik kebajikan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
 

 

-Bernama