SPRM: Dakwaan laporan rasuah MB Johor ‘tidak berasas’
Siasatan SPRM mendapati maklumat dakwaan rasuah yang diterima terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin “tidak berasas” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Paul Low.
"SPRM telah menyiasat maklumat yang diterima terhadap Khaled namun mendapati maklumat tersebut tidak berasas,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 21 Mac.
Beliau menjawab soalan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) mengenai sama ada SPRM telah menjalankan siasatan, dan jika ya, beliau memohon jawapan mengenai status siasatan itu.
Isu berkenaan timbul susulan kenyataan saksi Amir Shariffuddin Abd Raub kepada SPRM bocor di dalam talian. Dia ditangkap dan didakwa pada tahun lalu bersama bekas exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abdul Latif Bandi atas dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Dalam kenyataan bocor itu, Amir dilaporkan mengakui bahawa Khaled dan beberapa yang lain menerima jutaan ringgit daripada pemaju untuk menukar status hartanah dan projek perumahaan bumiputera kepada bukan bumiputera.
Khaled menafikan dakwaan itu pada Disember tahun lalu.

