Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika BN kalah PRU14, negara hancur, kata senator Umno

DEWAN NEGARA | Malaysia akan hancur dalam tempoh dua tahun sekiranya pembangkang mengambil alih pemerintahan negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata beliau yakin perkara itu tidak mustahil berlaku jika dilihat kepada beberapa faktor, terutamanya manifesto pembangkang yang tidak menekankan visi negara tetapi lebih menjurus kepada soal peribadi.

"Dalam PRU14, kalau Barisan Nasional (BN) kalah, I give you two years only, this country will be destroyed (dalam masa dua tahun sahaja, negara ini akan musnah. Saya beri jaminan (ini) sebagai seorang pemerhati politik.

"Tengok manifesto mereka (pembangkang) sudah cukup, banyak perkara yang bercanggah dan berkaitan dengan kepentingan peribadi. Apa tujuan mahu jatuhkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Bukankah ia dilihat bersifat personal, dendam, marah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berharap rakyat memahami apa yang bakal berlaku sekiranya pembangkang memerintah negara.

"Adakah ia sesuatu yang baik atau akan timbulkan huru-hara dalam negara. Cuba fikir betul-betul. Saya nak semua rakyat faham, kenapa kita nak hancurkan kebahagiaan kita, kebahagiaan anak cucu-cicit kita.

"Kalau ada salah sekalipun, kita betulkan kesilapan itu, kita perkukuhkan balik. Itu tugas kita sebagai bapa atau ibu, saya harap semua rakyat Malaysia sedar dan semua kaum jangan dipergunakan," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS