Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 6 orang kerana merusuh depan balai
Diterbitkan:  Mar 27, 2018 10:10 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Enam lelaki berumur antara 20 dan 27 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden rusuhan di hadapan Balai Polis Batu 10, Kota Padawan ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata kesemua mereka ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebagai merusuh dan Seksyen 427 kanun sama sebagai khianat.

Kesemua enam suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.

Insiden merusuh pada 25 Mac kira-kira 8.30 malam itu bermula apabila seorang daripada suspek dikatakan tidak puas hati dengan tindakan seorang lagi yang tidak memberinya laluan ketika memandu di pasar raya Giant di Batu 10 lalu mengekorinya ke pusat beli-belah tersebut sebelum bertindak merosakkan kereta lelaki berkenaan.

Kedua-dua pihak kemudian ke balai polis untuk membuat laporan berikutan kejadian pecah kereta yang berlaku di tempat letak kereta .

Dev berkata, bagaimanapun video insiden itu telah tular menerusi media sosial dan banyak komen diterima tentang kegagalan pihak polis bertindak meredakan keadaan yang tercetus di hadapan balai.

"Siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas perkara tersebut dan setakat ini pihak polis belum dapat mengulas lanjut mengenainya hingga siasatan dalaman selesai," katanya.

Bernama

Lihat Komen
ADS