Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR janjikan 'pemimpin kanan' ganti Rafizi di Pandan

PRU14 | Tanpa Rafizi Ramli kerusi parlimen Pandan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini, kekosongan itu akan diisi oleh seorang pemimpin kanan PKR, kata setiausaha agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya PKR juga memberi jaminan akan menawarkan tokoh "yang terbaik" di kalangan pemimpin utama parti itu bagi mewakili kawasan berkenaan.

Langkah itu katanya dibuat sebagai penghargaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kepada pengundi di kawasan itu yang memberikan sokongan padu kepada Rafizi sebelum ini.

"Susah mana-mana calon nak kekalkan standard tinggi yang Rafizi telah letakkan di Pandan.

"Rakyat dan pengundi Pandan memberikan sokongan solid (padu)," katanya sambil menambah kemenangan naib presiden PKR itu pada PRU lalu mencatat jumlah majoriti undi tertinggi buat parti berkenaan di seluruh Malaysia.

Beri yang terbaik

Saifuddin berkata demikian semasa berucap di depan kira-kira 300 hadirin yang menyertai kempen bergerak Bia Semula Negara di Taman Seraya, Pandan.

Rafizi hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU ke-14 selepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah membocorkan maklumat akaun syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Turut didakwa dan disabitkan kesalahan mengikut Akta Perbankan dan Institutsi Kewangan pada 8 Feb lalu ialah bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad.

Pada PRU ke-13 lalu Rafizi mengekalkan kerusi Pandan dengan mengetepikan cabaran Lim Chin Yee (MCA-BN) dan Tan Yew Leng (bebas) dengan kelebihan 26,729 undi.

Daripada 83,857 pengundi berdaftar di Pandan, 44 peratus adalah Melayu diikuti Cina (48 peratus), India (7 peratus) dan selebihnya, bangsa lain.

Saifuddin berkata pilihan pertama HARAPAN untuk mewakili Pandan ialah kalangan pemimpin atasan PKR.

"Pandan percayalah, insya-Allah kami akan berikan calon yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik, daripada kalangan pimpinan utama," katanya.

Terserah kepada parti

Sementara itu seorang lagi naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut berucap di majlis berkenaan.

Anak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu disebut-sebut menjadi pilihan utama pembangkang untuk diletakkan di Pandan.

Nurul Izzah kini anggota parlimen Lembah Pantai. Kawasan berkenaan mengalami perubahan jumlah pengundi melalui persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ia menyaksikan berlaku kemasukan hampir 7,000 pengundi baru dengan kebanyakannya terdiri daripada anggota polis di Bukit Aman.

Pada PRU lalu Nurul Izzah memenangi Lembah Pantai dengan mengalahkan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan majoriti 1,847 undi.

Dia dijemput sendiri ke atas pentas oleh Rafizi dan mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Sementara itu Rafizi ketika ditanya mengenai calon penggantinya sekadar ketawa dan menegaskan dia tidak berhak membuat pilihan sebaliknya menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

"Tapi seperti dinyatakan Saifuddin adalah jelas calon itu ialah seorang pemimpin kanan parti," katanya selepas ceramah berkenaan.

Rafizi yang banyak membuat pendedahan skandal berkaitan kerajaan juga menyatakan Pandan adalah kawasan simbolik buat PKR.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS