Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berang dengan pihak yang menurutnya sengaja menakut-nakutkan orang ramai berhubung rancangan kerajaan untuk menggubal undang-undang menangani berita palsu.

Beliau berkata ini kerana Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 baru dibentang dan dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat semalam dan belum pun lagi dibahaskan.

"Sama ketika (penggubalan) Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dulu tetapi tiada apa yang berlaku selepas itu (seperti yang dibimbangkan sesetengah pihak," katanya di Twitter hari ini.

Beliau merujuk peguam Datuk S Ambiga yang dilaporkan The Malaysian Insight sebagai berkata berkata undang-undang itu akan memberi kesan menakutkan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Sama seperti kebimbangan pembangkang, Ambiga juga berkata undang-undang itu untuk menyekat laporan berkaitan skandal 1MDB.

"Ia belum pun dibahaskan di Parlimen...Beliau patut menjadi calon pada PRU akan datang dan berdebat di Parlimen," katanya lagi.

Ciapan itu menarik perhatian Pengarah Strategik BERSATU Datuk Rais Hussin (gambar) yang menyifatkan Nur Jazlan telah membuang semua prinsip yang dipegangnya ketika mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) beberapa tahun lalu.

"Ia bukan tindakan menakut-nakutkan, tetapi kebimbangan sah rakyat apabila undang-undang begitu terbuka untuk pentafsiran kerajaan.

"Apa yang anda peduli? Anda menolak amanah sebagai pengerusi PAC untuk menerima jawatan timbalan menteri," kata Rais.

Rais kemudian mendakwa undang-undang itu nanti akan disalahgunakan apatah lagi kerajaan seperti terburu-buru untuk meluluskannya sebelum PRU ke-14.

Jazlan membalasnya dengan berkata beliau enggan berdebat berhubung perkara itu di Twitter, sebaliknya ingin berbuat demikian di Dewan Rakyat.

Menurut RUU itu, berita tidak benar bermaksud "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhan adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea".

kerajaan mencadangkan pesalah yang mengadakan, menawarkan atau menerbitkan "berita tidak benar" supaya didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.