Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rais ingatkan Najib: Pisau di tangan kanan, timun di tangan kiri
Diterbitkan:  Mar 27, 2018 1:21 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Tindakan mendiamkan diri mengenai 1MDB ibarat cubaan menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ranap, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Rais Yatim.

“Imej negatif negara dan perdana menteri telah tercalar tetapi mengapakah tiada menteri bangkit pertahankan jika beliau benar-benar tidak bersalah.

“Pendekatan sudah silap, sekarang katakan perdana menteri dicerca oleh ahli ekonomi dicakap di situ pencuri secara bertulis dan takkan saya biarkan perkara ini.

Ini satu pendekatan yang harus kita tengok. Kalau kita berdiam sahaja, semua menteri katakan jangan bangkitkan, ini bermakna anda di sana hendak menolak perdana menteri supaya ranap,” kata Rais yang juga adalah penasihat sosiobudaya kerajaan yang bertaraf menteri.

Beliau dipetik berkata demikian dalam wawancaranya yang disiarkan di akhbar Sinar Harian, hari ini.

Rais disoal apakah isu skandal 1MDB akan menjadi bahan kemen pembangkang yang akan menguburkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Adalah tidak jelas, ahli ekonomi mana yang disebutkan oleh Rais tetapi pada 8 Mac lalu, majalah mingguan The Economist tampil dengan artikel bertajuk "Stop, thief! Malaysia's PM is about to steal an election" (Berhenti, pencuri! PM Malaysia akan curi pilihan raya).

Keesokannya, pengacara program berita MSNBC Amerika, Rachel Maddow pula menamakan Najib sebagai "pencuri" berhubung saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (DOJ) mengenai 1MDB.

Rais berkata pendekatan berdiam diri sebenarnya akan membawa padah dan beliau mempunyai perspektif yang berbeza mengenai perkara itu, serta percaya bahawa siasatan harus dilakukan berhubung skandal itu.

 

“Saya memilih psikologi berasingan sebab saya berpendapat apabila diumumkan siasatan berjalan, kendurlah isu ini.

“Perdana menteri ada ruang dan tidak dilihat sebagaimana yang dianggap ahli ekonomi kerana sanggup disiasat. Kalau dah menang nanti tak habis penyiasatan, pisau di tangan kanan, timun di tangan kiri awak buat keputusan.

“Saya telah maklumkan perkara ini kepada Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri,” katanya.

"Saya percaya bahawa apabila anda mengumumkan bahawa siasatan sedang dijalankan, isu itu akan mati. Perdana menteri akan mendapat ruang, dan tidak akan dilihat sebagai (dia digambarkan) oleh ahli ekonomi kerana dia bersedia untuk disiasat," katanya.

SPRM sebelum ini membuat dua siasatan berhubung kes berkaitan 1MDB, iaitu sumbangan RM2.6 bilion, dan RM42 juta SRC Antarabangsa yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada bulan Januari 2016 membebaskan Najib daripada sebarang kesalahan dan salah laku dalam kedua-dua skandal.

Rais pada awal bulan ini menggesa agar siasatan dijalankan ke atas pemilikan kapal persiar mewah - The Equanimity - yang didakwa oleh DOJ itu dibeli oleh usahawan kontroversial Jho Low menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.

1MDB menafikan bahawa mana-mana dananya telah diselewengkan, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun berkata tidak ada bukti itu mengaitkan kapal itu dengan Low dengan 1MDB.

Lihat Komen
ADS