Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan, pandangan yang mengatakan bahawa pembentangan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat esok sebagai subjudis hanyalah satu perbezaan pendapat.

Menurut Pandikar, sebagai sebuah negara demokrasi, mana-mana pihak boleh menyatakan pandangan sama ada pembentangan laporan esok sebagai subjudis atau tidak.

"Ini (negara) demokrasi. Anda boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Masing-masing ada pendapat. Itu pendapat orang lain, pendapat saya lain.

"Pendapat saya, subjudis itu kadang-kadang boleh dipakai untuk sesetengah kes.

"Jadi bagi saya, (tujuan) pemisahan kuasa adalah bagi membuat (membolehkan) parlimen (buat) kerja, mahkamah buat kerja, eksekutif buat kerja masing-masing," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Sebelum ini terdapat beberapa anggota parlimen pembangkang menggesa laporan persempadanan semula tidak dibentang di Parlimen kerana ia subjudis memandangkan terdapat dua kes melibatkan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang yang masih berjalan.

Pada Oktober 2016, Pandikar menghalang soalan mengenai skandal 1MDB di parlimen atas alasan subjudis kerana Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat boleh memetik hansard di dalam pendengaran pelucuthakan itu.

Menurut Pandikar, perbahasan mengenai isu berkenaan dalam parlimen boleh digunakan walaupun perbicaraan itu dilakukan di luar negara.