Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU antiberita palsu langgar perlembagaan, kata bekas hakim

Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar melanggar perlembagaan jika Parlimen meluluskannya menjadi undang-undang, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Bagaimanapun, Sri Ram yang kini merupakan seorang peguam berkata ia tergantung cara Mahkamah Persekutuan melihat perkara tersebut (jika RUU itu dicabar di mahkamah).

Beliau memberi dua sebab yang menyebabkan beliau secara peribadi berfikir cadangan undang-undang itu bercanggah dengan perlembagaan.

"Pertama, ia terlalu luas dan tidak tetap, justeru ia melanggar Kedaulatan Undang-undang yang menjadi sebahagian daripada Perkara 8 (1) Perlembagaan dan membentuk aturan asas Perlembagaan Persekutuan," Sri Ram memberitahu Malaysiakini.

Perkara 8 menyentuh mengenai hak sama rata yang mana pecahan bahagian (1) memperuntukkan bahawa semua orang adalah samarata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

"Kedua, ia merupakan tindak balas yang tidak seimbang di bawah Perkara 10 (2) kerana terdapat undang-undang lain yang menjenayahkan perlakuan sebegini, misalnya Akta Komunikasi dan Multimedia. Tambahan pula, perlindungan yang mencukupi boleh didapatkan di bawah undang-undang fitnah," jelas Sri Ram lagi.

Perkara 10 (1) menyatakan semua orang memiliki hak terhadap kebebasan bersuara, mengeluarkan fikiran, berhimpun dan berpersatuan.

Mengenai undang-undang fitnah, Sri Ram merujuk Akta Fitnah 1957. Selain itu, Kanun Keseksaan turut memperuntukkan jenayah fitnah juga.

Sri Ram menegaskan pendapatnya bergantung cara mahkamah tertinggi negara melihat undang-undang baru tersebut.

"Jika ia mengambil pendekatan kes Azmi Sharom, mahkamah akan mengekalkan Akta tersebut," katanya.

Dalam kes hasutan Azmi Sharom, ketua hakim negara pada ketika kes itu didengar, Tun Arifin Zakaria memutuskan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 tidak bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak melanggar Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

 

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS