Pegawai Pejabat AG pun keliru RUU antiberita palsu, kata Dr M
PARLIMEN | Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa para pegawai dari Pejabat Peguam Negara juga keliru dengan Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar 2018 itu.
Mahathir yang hadir sesi taklimat untuk anggota parlimen pembangkang yang diberikan Pejabat Peguam Negara di Parlimen hari ini berkata para pegawai berkenaan tidak boleh menjawab banyak soalan yang ditimbulkan.
"Amat jelas sekali bahawa mereka keliru dan tidak tahu apa sebenarnya tujuan undang-undang ini selain daripada tujuan politik.
"Kerana mereka mengadakan satu undang-undang yang undang-undang lain (yang menangani berita palsu) sudah pun cukup," Mahathir memberitahu pemberita hari ini.

Mahathir berkata sebab utama undang-undang baru ini dibuat hanya untuk memberikan kerajaan kuasa untuk menangkap para pengkritiknya.
Namun demikian, beliau berkata jika anggota pembangkang menyatakan kebenaran tetapi dinafikan kerajaan, maka tiada tindakan yang boleh diambil.
"Sebaliknya kalau kita membuat kenyataan yang benar tetapi dinafikan oleh kerajaan. Maka tidak ada tindakan yang akan diambil, kerana keputusan untuk mengambil tindakan terpulang kepada pendakwaraya.
"Kalau pendakwaraya berpendapat bahawa ini bukan false news, (maka) tak ada tindakan," kata beliau lagi.

