Setiausaha akhbar perdana menteri memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tidak ingat pertuduhan hasutan terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin kerana didakwa mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaariibu.

Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata demikian dalam soal balas oleh peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Haniff mempersoalkan tindakan Tengku Sariffuddin menggunakan Raja Petra sebagai sumber dalam siri kenyataan didakwa fitnah yang mencadangkan Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berpakat dengan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Najib.

Apabila Tengku Sariffuddin berkata beliau tidak pasti berkaitan pertuduhan hasutan itu, Haniff yang mewakili Mukhriz memintanya membacakan petikan daripada tulisan bertarikh 7 Mei 2008 berkaitan kes itu secara terperinci.

Haniff: Pada waktu itu apa tugas awak?
Tengku Sariffuddin: Saya setiausaha akhbar kepada TPM.

Haniff: Siapa TPM?
Tengku Sariffuddin: Datuk Seri Najib.

Haniff: Dakwaan ni berkaitan pembunuhan Altantuya ?
Tengku Sariffuddin: Setuju.

Haniff: Siapa ahli politik yang dituduh kononnya?
Tengku Sariffuddin: Datuk Seri Najib.

Haniff: Kalau Najib konon dituduh terlibat dalam itu, takkan awak tak tahu.
Tengku Sariffuddin:  Saya tak recall (tidak ingat).
 

[Baca berita asal]