Jangan buat provokasi, tangkap jika ada
Anggota kumpulan Baju Merah turut muncul di sisi lain ketika penyokong BERSIH - yang berbaju kuning - berkumpul di kawasan Tugu Negara.
Antara mereka ialah individu yang dilihat sering menemani ketua kumpulan berkenaan.
Razali Zakaria dilihat merakamkan perkembangan yang berlaku di kawasan Tugu Negara dengan telefon genggamnya kira-kira jam 10.40 pagi.
Penyelaras himpunan BERSIH kemudian mengingatkan penyokong gerakan reformasi pilihan raya itu supaya bersabar dan tidak mencetuskan provokasi.
"Kalau ada sesiapa yang cuba membuat provokasi, tangkap mereka dan serahkan kepada polis," katanya.
BERSIH mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai langkah menyatakan bantahan terhadap cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda sempadan pilihan raya.
Laporan SPR itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini ketika negara semakin hampir mengadakan pilihan raya umum.
Pengkritik mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya itu memberi kelebihan besar kepada BN untuk kekal sebagai kerajaan.

