Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad 'menceroboh' sesi taklimat perundangan kepada ahli parlimen pembangkang mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 di Parlimen, semalam.

Katanya, taklimat tertutup petang semalam itu bertujuan memberi penjelasan kepada ahli parlimen pembangkang sebelum dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat tetapi, sesi itu menerima tetamu tidak diundang apabila Dr Mahathir tiba-tiba masuk.

"Mereka terlampau terdesak hingga sanggup wujudkan ketakutan terhadap undang-undang ini. Kita nak terangkan, tapi (sebelum habis) mereka sudah keluar.

"Tun Mahathir keluar (sebelum taklimat selesai), Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar) juga keluar, nak buat macam mana.

"Dia datang cakap, lepas itu keluar, 'macam nak pukul maut la'. Saya tak kisah pembangkang sebab itu modal mereka, tapi Tun sebagai bekas perdana menteri, ada tak undang-undang waktu zamannya dibawa bincang dengan pembangkang," katanya yang dipetik oleh Berita Harian.

Menurut Azalina, pihaknya tidak menjemput pengerusi Pakatan Harapan itu kerana majlis berkenaan dikhaskan kepada ahli parlimen pembangkang.

Walaupun, katanyanya merreka tidak kisah dengan kehadiran bekas perdana menteri itu, beliau terkilan kerana taklimat yang sepatutnya menjadi sesi bertukar pandangan dengan ahli parlimen pembangkang, bertukar menjadi dialog politik.

"Saya jemput ahli parlimen pembangkang kerana nak dengar pandangan perundangan (mengenai RUU), tapi mereka politikkan (RUU), kononnya kerajaan laksanakan undang-undang ini kerana sudah hampir pilihan raya,” katanya.

Dr Mahathir, semalam menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen.

Taklimat mengenai RUU Antiberita Tidak Benar 2018 itu disampaikan oleh wakil Jabatan Perdana Menteri bersama Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).