Di sebalik bantahan dari dalam dan luar Dewan Rakyat, perdana menteri tengah hari ini membentangkan juga laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) memulakan pembentangan laporan persempadanan semula untuk kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ia berlangsung ketika sidang Dewan Rakyat bersambung semula selepas berehat kira-kira 20 minit ekoran kekecohan yang berlaku sebelum itu.

Ketika membentangkan usul berkenaan, perdana menteri menegaskan pihak kerajaan tidak mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat SPR.

Jelas Najib, hal itu kerana kerajaan menghormati segala keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya berkenaan.

"Kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugas-tugas mereka, malah kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang telah dibuat SPR," katanya.

Najib turut berkata tiada asas untuk mengatakan persempadanan semula yang dicadangkan SPR itu bertujuan untuk memberi kelebihan kepada satu pihak semata-mata.

6 BN, 5 pembangkang

"Adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih di dalam bahagian pilihan raya masing-masing.

"Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing, sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja," kata Najib.

Semasa membentangkan usul itu, Najib turut memberitahu tiada perubahan ke atas bilangan bahagian-bahagian pilihan raya bagi peringkat persekutuan dan negeri-negeri di semenanjung.

Namun katanya SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 bahagian pilihan raya persekutuan serta 28 bahagian pilihan raya negeri.

Usul berkenaan kemudian disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk).

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia selepas itu menetapkan setiap anggota parlimen diberikan tempoh 10 minit untuk berbahas namun dibantah anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pandikar kemudian memperuntukkan lima anggota parlimen pembangkang dan enam anggota parlimen BN untuk membahaskan usul tersebut.

Sesi perbahasan dimulakan oleh Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar).