Kecoh lagi, pembangkang tak puas hati had pembahas, masa 10 minit
Parlimen terus panas, kali ini apabila pembangkang tidak puas hati dengan tempoh masa dan jumlah pembahas untuk membahaskan laporan persempadanan semula yang dibentangkan perdana menteri.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberikan peluang kepada lima orang daripada setiap parti pembangkang untuk mengambil bahagian.
Masing-masing diberikan 10 minit.
Di sebelah BN pula, enam pembahas diberi peluang dengan tempoh masa sama.
Bagaimanapun, perkara itu dibantah oleh Tian Chua (PKR-Batu) yang menyifatkan perkara itu merosakkan “legasi” speaker sendiri yang mahu mewujudkan “demonstrasi terbaik di dunia”.
Naib presiden PKR itu juga menyifatkan perkara itu sebagai lawak jenaka kerana laporan itu telah mengambil masa bertahun-tahun untuk disediakan.
Bantahan sama disuarakan oleh Manivannan Gowindasamy (PKR-Kapar).
Speaker menjelaskan membuat keputusan demikian kerana isu itu telah diketahui umum.
Beliau kemudian mengarahkan Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi memulakan perbahasan.
Tian Chua kemudian memberi amaran kepada Budiman.
“Kamu memalukan diri sendiri jika memulakan perbahasan ini,” katanya.
Budiman bagaimanapun tidak mempedulikan dan terus membahaskan laporan itu di sebalik hingar-bingar suara tidak puas hati pembangkang.


