‘Pensyarah terkucil’ dilabel berita palsu pembangkang di Utusan
Susulan pembentangan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Utusan Malaysia menerbitkan senarai berita palsu dari pihak pembangkang.
Senarai yang disusun oleh pengguna Facebook, Muhamad Harris Nasri itu termasuk dakwaan bahawa penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff telah "terkucil” ketika Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan di wacana bertajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?".
Bagaimanapun, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menafikan bahawa beliau terkedu dan terus terkucil ketakutan sebaik sahaja Dr Mahathir sampai. Sebaliknya, Kamarul mendakwa beliau masih mampu berhujah dan menyatakan pendiriannya.
Dalam laporannya, akhbar milik Umno itu juga memetik pepatah Melayu, "Siapa makan cili, dialah rasa pedas."
Akhbar itu juga mempersoalkan sama ada mereka yang membantah rang undang-undang itu kerana mereka sendiri menggunakan berita palsu sebagai modal politik selama ini.
Tajuk lain yang disenaraikan termasuk:
1. Dakwaan 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk sebagai pengundi hantu semasa pilihan raya umum 2013.
“Akibatnya, terdapat orang awam (Malaysia) dituduh sebagai warga Bangladesh dipukul dan dimarahi semasa beratur untuk mengundi walaupun sebenarnya merupakan rakyat Malaysia.”
2. BN memenangi PRU-13 hasil undi warga Bangladesh.
“Berita palsu ini telah dinafikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, AKM Atiqur Rahman yang menyifatkan berita tersebut sebagai tidak berasas dan dibuat oleh golongan tidak berakal.”
3. Kerajaan Persekutuan tutup paip air utama di Selangor.
“Dakwaan tindakan sabotaj oleh kerajaan Persekutuan terhadap bekalan air di Selangor tersebar ketika negeri tersebut mengalami gangguan bekalan air selama hampir seminggu baru-baru ini. Berita tersebut dinafikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.”
4. Dokumen Langkah Kajang untuk jatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“PKR dan setiausaha agungnya, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan rasa kesal dan memohon maaf kepada bekas Menteri Besar Selangor itu kerana mengeluarkan satu laporan setebal 91 muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan terhadap Abdul Khalid.”
5. Pertukaran kerajaan 16 September 2008.
“Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah mendakwa telah mempunyai sejumlah wakil rakyat kerajaan yang akan melompat parti pada tarikh 16 September 2008 supaya pembangkang ketika itu dapat membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan BN. Walau bagaimanapun, 16 September berlalu begitu sahaja tanpa ada mana-mana wakil rakyat yang lompat parti.”
6. 'Blackout' semasa kiraan undi PRU-13.
“Dakwaan berlaku insiden padam lampu semasa proses kiraan undi di beberapa kawasan telah membawa beribu penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Stadium Kelana Jaya pada malam pengumuman keputusan PRU-13. Namun empat bulan selepas itu Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming bersetuju dengan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) bahawa tiada insiden padam lampu yang berlaku.”

