Kes halang rampasan Equanimity dibicarakan 2 April
Kes yang difailkan oleh pihak yang menuntut The Equanimity untuk menghalang pihak berkuasa Amerika Syarikat daripada merampas kapal persiar itu akan dibicarakan di Jakarta pada 2 April ini, kata polis Indonesia.
"Proses awal mahkamah akan memakan masa seminggu," kata Daniel Silitonga, timbalan pengarah ekonomi dan jenayah khas Jabatan Polis Pusat Indonesia kepada Malaysiakini hari ini.
Silitonga juga mengesahkan bahawa tuntutan itu difailkan bagi pihak syarikat Equanimity (Cayman) Ltd, pemilik berdaftar kapal itu, di mahkamah Jakarta Selatan di mana kes itu akan didengar.
Malaysiakini semalam melaporkan bahawa pihak yang menuntut kapal persiar itu berusaha bersunguh-sungguh untuk menghalang penyitaan kapal berkenaan di mahkamah Indonesia.
Menurut pemfailan mahkamah yang dibuat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada Isnin lalu, tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menghalang Equanimity daripada dirampas oleh pihak berkuasa Amerika.
Buat sementara, Silitonga berkata, kapal itu akan terus berlabuh di Pelabuhan Benoa di Denpasar, Bali, di mana ia mula disita pada 28 Februari lalu atas permintaan Biro Penyiasatan Federal Amerika Syarikat.
"Kami kini menunggu hasil prosiding mahkamah," katanya, merujuk kepada laporan siasatan lanjut oleh polis tempatan di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram Indonesia.
Ditanya mengenai status kapten kapal dan krewnya, Silitonga berkata semua mereka akan tetap berada di atas kapal itu sementara menunggu keputusan cabaran di mahkamah.

