Speaker tak putuskan status Kit Siang tapi undi tak dikira
Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan undian Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang yang tidak diambil kira semasa sesi pengundian bagi meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat.
Menurut Wan Azizah, undi daripada pembangkang sepatutnya sebanyak 81 berbanding 80 seperti yang diumumkan.
"Undi Gelang Patah tak diambil kira sedangkan secara fizikal beliau ada dalam dewan.
"Inilah salah satu bukti yang kita rasa nilai demokrasi kita terhakis hari ini," katanya pada sidang media di Parlimen selepas usul persempadanan semula diluluskan hari ini.
Sementara itu, Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke pula membangkitkan persoalan berhubung status penggantungan Lim yang dianggap sebagai 'tergantung'.
Ini kerana, katanya, tiada sebarang keputusan yang dibuat oleh Speaker berhubung status anggota veteran DAP berkenaan.
"Sebenarnya tiada keputusan. Beliau (Datuk Seri Azalina Otman) hanya baca sahaja usul tapi belum ada keputusan dari Speaker.
"Usul itu tergantung, tak ada keputusan sama ada beliau masih ada hak sebagai anggota parlimen atau tak kerana selepas Dewan berehat, tak ada keputusan dibuat dan tak ada undian dibuat," kata Anthony.
Ditanya sama ada terdapat undian untuk menghalau Lim sebelum Dewan ditangguhkan, Anthony berkata "tiada".
Tengah hari tadi Malaysiakini melaporkan, walaupun diberi amaran oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia namun Lim (DAP-Gelang Patah) tidak peduli dengan amaran itu dan bangun untuk bertanya berkaitan kewajaran status embargo (larangan dedah awal) untuk laporan persempadanan semula pilihan raya.
Ekoran itu, Pandikar kemudian menghalaunya dari parlimen tetapi Lim berdegil enggan keluar dengan menggelengkan kepala dan melaungkan perkataan “penyamun” dan “pencuri” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Datuk Seri Abdul Rahim (BN-Baling) Azeez Abdul Rahim membalas dengan memanggil Lim “komunis”.
Azalina yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri kemudian mengusulkan Lim digantung Parlimen. Usul itu disokong timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

