Paling Popular
Terkini

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan mengumumkan hasrat menganjurkan forum 'Najib, Hadi, Mahathir: Siapa yang lebih layak?'.

Forum berkenaan merupakan reaksi kepada forum anjuran NGO PERTAHAN - sebuah NGO mesra PAS - yang mengetengahkan topik “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" di Kelantan esok.

Manakala Ketua Pemuda BERSATU Kelantan Asran Alias berkata, pihaknya pula mencadangkan tarikh 13 April bagi forum susulan mereka dengan menjemput empat panelis.

Menurutnya, panelis yang akan dijemput ituadalah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusof; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Ashraf Wajdi Dasuki; Ketua Bahagian BERSATU Ketereh, Dr Radzi Jidin dan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Dr Mustafa Salleh selaku moderator.

"Kami melihat isu siapa perdana menteri seterusnya adalah sangat serius. Jadi, kami turut menjemput Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tetamu kehormat program itu.

"Ia sebagai alternatif selepas kami kecewa dengan tindakan NGO PERTAHAN yang dilihat ingin mempermainkan kredibiliti seorang negarawan (Dr Mahathir) apabila (mencadangkan Dr Mahathir) sepentas dengan Dr Kamarul, CheguBard dan Ahmad Fadhil Shaari," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, penganjur forum “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" menghantar surat jemputan rasmi kepada Dr Mahathir Mohamad di Ibu Pejabat BERSATU, semalam.

Surat jemputan itu diserahkan oleh timbalan pengarah forum berkenaan Abdul Shakur Sharrie kepada wakil BERSATU.

Forum susulan anjuran PERTAHAN itu adalah rentetan daripada forum wacana Sinar Harian “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?” minggu lalu yang turut dikejutkan dengan kehadiran Dr Mahathir sendiri.

Panelis yang akan turut serta pada forum berkenaan Dr Kamarul Zaman, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari, dan Ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) CheguBard.

Mengulas lanjut, Asran berkata, pihaknya melihat ada sesuatu yang disembunyikan wakil NGO PERTAHAN, Abdul Shakur yang menghantar surat jemputan kepada Dr Mahathir walaupun telah dimaklumkan ketidakwajaran tarikh tersebut.

"Sepatutnya yang layan menjadi panelis bersama Dr Mahathir adalah perdana menteri, dan presiden PAS untuk membentangkan apakah tawaran terbaik mereka kepada rakyat Malaysia," ujarnya.

Tambahnya, lokasi dan masa forum yang dianjurkan mereka itu akan ditetapkan kemudian selepas kesemua panelis jemputan bersetuju dengan cadangan itu.

Lihat Komen
ADS