Syarikat penerbangan Cathay Pacific menjelaskan bahawa keputusannya untuk mengecualikan fi tempahan semula untuk tiket penerbangan yang ditempah pada hari mengundi pada pilihan raya umum ke-14, adalah semata-mata untuk memberi perkhidmatan yang lebih kepada pelanggan rakyat Malaysia.

Syarikat penerbangan itu berkata demikian dalam responnya kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed tentang kesan langkah itu kepada "perubahan rejim" di Malaysia.

Nur Jazlan menulis mengenainya di Twitter semalam mempersoalkan motif di sebalik langkah memberi pengecualian tersebut.

"Kami menyedari keperluan semasa pelanggan dan ingin memberikan lebih nilai dan fleksibiliti kepada penumpang kami apabila mereka memilih untuk terbang dengan kami," kata jurucakap Cathay Pacific kepada Malaysiakini.

Minggu lepas, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong itu mengumumkan bahawa ia akan menawarkan pilihan rakyat Malaysia untuk menempah semula dan menukar perjalanan penerbangan mereka secara percuma, ekoran menjelang pilihan raya umum.

Jika tarikh pilihan raya jatuh dalam tempoh penerbangan penumpang, katanya, satu perubahan dibenarkan untuk semua tiket, termasuk yang ada sekatan ke atas perubahan tarikh.

Menurut nasihat perjalanan, penumpang juga akan dibenarkan untuk menangguhkan penerbangan mereka sehingga dua bulan dari tarikh asal perjalanan.

Untuk memenuhi syarat pengecualian fi itu, warganegara Malaysia perlu membuat perubahan tiket penerbangan dalam masa seminggu dari pengumuman tarikh PRU14.

Cathay Pacific bagaimanapun, menegaskan bahawa pengecualian itu tidak akan terpakai bagi perbezaan tambang atau perbezaan cukai sekiranya tarikh baru tertakluk kepada 'subclass atau seasonality', dengan semua surcaj terpakai mengikut peraturan peraturan tambang tiket penerbangan yang dibeli.

[Baca berita penuh]