Gabungan lebih 20 NGO belia di Titiwangsa mengutuk tindakan melobi menolak Ahli parlimen di situ, Datuk Johari Abdul Ghani oleh Kelab Aku Budak Chow Kit (KABCK), dan mengesyaki wujud 'tangan ghaib' di belakang kempen itu.

Gabungan NGO Belia dalam Parlimen Titiwangsa mendakwa bahawa KABCK tidak mempunyai lebih daripada 100 ahli - jauh sekali 2,000 yang dikatakannya - dan malah kebanyakannya bukan pengundi berdaftar di kawasan itu.

"Ini mengesahkan lagi syak kami bahawa KABCK di dalangi oleh tangan ghaib yang mempunyai cita-cita untuk bertanding sebagai calon Parlimen di situ.

"Jika individu ini adalah seorang anak jantan, berhentilah berselindung di sebalik KABCK dan nyatakanlah niat kamu secara terang-terangan," kata gabungan itu dalam satu kenyataan semalam.

Gabungan - yang mendakwa mempunyai lebih daripada 20,000 ahli - juga mencabar KABCK untuk menyenaraikan bukti bahawa Johari tidak prihatin terhadap pengundinya.

Ia juga turut mencabar KABCK meletakkan seorang calon untuk bertanding menentang Johari dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada sidang akhbar Ppengerusi KABCK, Ahmad Ayob Ramli pada hari Isnin, di mana beliau bercadang membuat kenduri kesyukuran besar-besaran dengan membakar lima ekor kambing sekiranya Johari tidak dicalonkan dalam PRU14.

Johari, yang juga menteri kewangan kedua, mendakwa kempen itu adalah sabotaj oleh seseorang dalam bahagian Umno Titiwangsa yang tidak mahu dia menjadi calon.

'Bukan ahli Umno'

Dalam kenyataan itu, gabungan itu mendakwa bahawa walaupun Ayob berdaftar sebagai pengundi Titiwangsa, tetapi dia tidak tinggal di dalam kawasan Parlimen itu  ataupun dia seorang ahli Umno.

Ini, kata mereka, sebabnya Ayob tidak tahu tentang sumbangan Johari kepada Titiwangsa.

Mereka juga mendakwa bahawa kempen poster KABCK adalah bertujuan menimbulkan kebencian masyarakat terhadap Johari. Gabungan itu mendakwa ia tidak beretika dan menyalahi undang-undang persatuan di bawah Seksyen 13(1)(C)(ii) Akta Pertubuhan 1966.

Peruntukan ini membolehkan Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran sesuatu masyarakat yang dianggapnya "mungkin digunakan bagi maksud-maksud menyalahi undang-undang yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, kenteraman awam dan akhlak".

[Baca berita penuh]