Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed terus mempersoalkan motif Cathay Pacific untuk mengecualikan fi tempahan semula untuk tiket penerbangan yang ditempah pada hari mengundi pada pilihan raya umum ke-14.

Mengulas laporan Malaysiakini pagi ini, Nur Jazlan menerusi Twitter berkata jika tawaran pilihan raya umum itu adalah business-as-usual maka rakyat harus menantikan pengecualian semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas juga.

"Bagaimana pula dengan tawaran kepada pengundi di negara lain semasa pilihan raya umum mereka?" soalnya.

Pada 23 Mac lalu, Malaysiakini melaporkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hong Kong itu mengumumkan bahawa ia akan menawarkan pilihan kepada rakyat Malaysia untuk menempah semula dan menukar perjalanan penerbangan mereka secara percuma, ekoran menjelang pilihan raya umum.

Jika tarikh pilihan raya jatuh dalam tempoh penerbangan penumpang, syarikat itu berkata, satu perubahan dibenarkan untuk semua tiket, termasuk yang ada sekatan ke atas perubahan tarikh.

Menurut nasihat perjalanan, penumpang juga akan dibenarkan untuk menangguhkan penerbangan mereka sehingga dua bulan dari tarikh asal perjalanan.

Pengumuman itu kemudian menyaksikan Nur Jazlan tampil mempersoalkan motif di sebalik langkah memberi pengecualian tersebut.

Ketika dihubungi, beliau turut mempertikaikan tentang kesan langkah itu kepada "perubahan rejim" di Malaysia.

[Baca berita penuh]