Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada ‘hantu Lim’ di Dewan Rakyat, tapi ‘hantu Altantuya’

Anggota Parlimen Bagan Lim Guan Eng mempertahankan kehadiran bapanya, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat hari ini dan mempertikaikan label 'hantu' ke atas anggota veteran DAP berkenaan.

Malah, Guan Eng yang adalah setiausaha agung DAP itu turut menyindir bahawa tiada 'hantu' di Dewan Rakyat kecuali 'hantu Altantuya'.

"Saya nak rujuk (gelaran) hantu (kepada Kit Siang). Kalau hantu, hanya Altantuya (Shaariibuu).

"Gelang Patah masih ada di sini, dia sahih. Kalau ada hantu, hanya hantu Altantuya sahaja," katanya pada sidang media di Parlimen.

Guan Eng dipercayai merujuk kepada kematian warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dibunuh kejam di Puncak Alam, Selangor pada tahun 2006.

Sekutu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, iaitu Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis politik turut terpalit dengan pembunuhan itu tetapi kemudiannya dibebaskan.

Dua bekas anggota polis cawangan khas polis kemudiannya dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan membunuh tetapi seorang daripada mereka berjaya melarikan diri ke Australia dan sedang tahan di pusat tahanan imigresen di Melbourne.

Najib, yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri, pernah bersumpah di hadapan Al-Quran bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan polis juga membebaskannya daripada sebarang kesalahan.

Awal hari ini, Dewan Rakyat kecoh berikutan pertikaian mengenai kehadiran, Kit Siang memandangkan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam dikatakan telah menggantungnya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang meminta Pandikar mengambil tindakan terhadap Kit Siang berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5).

Bagaimanapun, Pandikar kemudian secara sinis memberitahu beliau tidak nampak Kit Siang di dalam Dewan Rakyat - walaupun anggota parlimen veteran berkenaan ketika itu berada dikerusinya.

"Saya tak nampak Gelang Patah dalam Dewan. Kalau saya nampak Gelang Patah, saya perlu suruh dia keluar Dewan lagi sekali," kata Pandikar.

Selepas itu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) kemudian bangun untuk membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018, namun beliau sebelum itu menggelarkan Kit Siang sebagai 'hantu' dan bersetuju dengan tindakan Pandikar.

Tiada pengundian

Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Whip DAP Anthony Loke pula berkata, pihaknya tidak menerima keputusan Dewan Rakyat yang menggantung Lim selama enam bulan.

Katanya, tiada sebarang pengundian dibuat semalam untuk menggantung anggota parlimen veteran berkenaan selepas usul dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

Justeru, menurut anggota parlimen Seremban itu mereka kini akan menunggu hansard untuk memastikan sama ada Lim benar-benar digantung selama enam bulan atau tidak.

“Speaker mahu membuat undian (untuk menggantung Lim) dan kami bangun untuk minta penjelasan supaya usul itu didebatkan dan undi pun tidak dibuat.

“Speaker sepatutnya mengatakan bahawa usul berkenaan telah lulus (atau tidak), tetapi sebelum itu telah berlaku kekecohan.

“Jadi sejauh mana yang saya tahu, usul itu tidak pernah diluluskan jadi Gelang Patah masih lagi boleh memainkan peranannya sebagai anggota parlimen.

“Kita akan tunggu hansard dan hansard boleh tunjukkan urutan peristiwa itu,” katanya.

Lim semalam diminta untuk meninggalkan Dewan Rakyat oleh Pandikar namun beliau berdegil dan enggan meninggalkan Dewan.

Pandikar bertindak menghalau Lim dari Dewan Rakyat selepas beliau tetap bangun untuk bertanya walaupun sebelum itu telah diberi amaran oleh Pandikar agar tiada pihak yang bangun untuk bercakap kerana ingin memberi ruang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul berkaitan laporan persempadanan semula pilihan raya.

Selepas itu, Pandikar kemudian meminta menteri membuat usul agar menggantung Lim daripada Dewan Rakyat.

 

Lihat Komen
ADS