Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 6.75 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2018.

Pengurusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata agihan pendapatan untuk ASM and ASB 2 membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.7 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 889,000 pemegang akaun.

“ASB2 akan membuat pembayaran berjumlah RM562.9 juta agihan pendapatan kepada 348,000 pemegang unit yang pada masa ini memegang 9.4 bilion unit.

“Bagi ASM, ia membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.1 bilion, yang memberi manfaat kepada 540,000 pemegang unit dengan 18.4 bilion unit,” katanya dalam taklimat media berhubung Laporan Tahunan Awam, di ibunegara hari ini

Katanya, pulangan untuk kedua-dua dana itu secara asasnya lebih tinggi daripada pulangan penanda aras sebanyak 3.69 peratus untuk ASM dan 3.61 peratus untuk ASB2.

Sehingga 28 Februari, 2018, Abdul Wahid berkata, ASM merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM1.1 bilion, disumbangkan kebanyakan oleh perolehan modal sebanyak RM649.17 juta atau 4.95 peratus, diikuti oleh pendapatan dividen daripada pelaburan di dalam syarikat sebanyak RM462.14 juta atau 35.3 peratus dan pelaburan lain.

Sementara itu katanya, ASB2 merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM551.2 juta sehingga 28 Feb 2017 dengan perolehan modal berjumlah RM293.58 juta atau 49.3 peratus daripada pendapatan bersih.

Pendapatan dividen daripada pelaburan di dalam syarikat menyumbang RM230.09 juta atau 38.7 peratus, manakala RM71.26 juta atau 12 peratus diperoleh daripada pelaburan lain, tambahnya.

Katanya, agihan yang diisytiharkan oleh ASM dan ASB2 akan dilabur semula sebagai unit tambahan di dalam akaun pemegang unit pada RM1 seunit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2018.

Untuk tahun kewangan 2017, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyal 6.0 sen seunit dan 6.5 sen seunit masing-masing untuk ASM dan ASB2

PNB juga mengumumkan agihan pendapatan untuk Amanah Saham Gemilang (ASG), yang mengandungi tiga dana iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan.

Abdul Wahid berkata, PNB memperuntukkan RM211.6 juta yang akan memberi manfaat kepada 185,590 pemegang unit yang memegang 3.1 billion unit.

Untuk tahun kewangan 2018, ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan mengumumkan agihan pendapatan masing-masing sebanyak 4.8 sen, 5.2 sen dan 5.15 sen seunit, berbanding masing-masing 4.5 sen, 4.25 sen dan 5.15 sen, sebelum ini.

Sehingga Februari 2018, ASG-Pendidikan mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM43.8 juta, manakala ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan masing-masing mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM92.4 juta dan RM22.9 juta.

Pengiraan untuk agihan pendapatan ketiga-tiga dana dibawah ASG berdasarkan baki unit sehingga 31 Mac, 2018, kata PNB.

Kata PNB, pembayaran agihan untuk ketiga-tiga dana akan dilabur semula secara automatik dalam bentuk unit dan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April, 2018, tahun ini.

PNB juga mengumumkan bahawa berkuatkuasa 31 Mac tahun ini, ia akan mengedarkan penyata agihan pendapatan, laporan tahunan untuk kesemua unit dana amanahnya dan laporan sementara dana harga berubah kepada semua pemegang unit melalui kaedah elektronik.

Versi elektronik penyata berkenaan akan dihantar ke alamat e-mel berdaftar pemegang unit, kata PNB

- Bernama