‘Pembangkang terlampau berani, punya lesen besar’
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberitahu, kejadian melibatkan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) merupakan pertama kali dalam sejarah Parlimen negara ini.
Menurut Pandikar, Lim adalah satu-satunya anggota parlimen yang bila diarahkan keluar, tidak berbuat demikian.
Atas sebab itu, Pandikar berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan anggota parlimen veteran DAP berkenaan dengan berpura-pura tidak nampak Lim.
Ini kerana, menurutnya lagi, tiada faedah sekiranya beliau terus menggesa Lim keluar Dewan memandangkan mereka semua mempunyai 'lesen' untuk melakukan apa sahaja.
"Saya sudah pun beri arahan kelmarin, kalau anggota parlimen di Malaysia ini beretika, (mereka sepatutnya) malulah sikit.
"Jadi saya kata, okay bila dia duduk saya tak nampak kerana kalau saya nampak, dia boleh sertai (sidang Dewan Rakyat).
"Ini kes pertama (diarah keluar, tapi tak buat demikian). Kalau ada Yang Berhormat yang degil, bila saya arah polis untuk angkat apa faedah?
"Mereka inikan terlampau berani, punya lesen besar. Tak apalah tak ikut kata Speaker, pembangkang ada lesen, apa pun boleh buat kerana merekakan mewakili rakyat.
"Oleh kerana pembangkang itu ada lesen besar, semua orang salah, mereka sahaja yang betul jadi tak apalah," kata Pandikar sinis ketika diajukan soalan mengenai status sebenar Lim.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen.
Semalam, Malaysiakini melaporkan, keadaan Dewan Rakyat kecoh apabila pihak kerajaan dan pembangkang saling berperang mulut semasa usul laporan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibentang dan dibahaskan.
Susulan itu, Pandikar kemudian memberi amaran untuk menghalau sesiapa yang menganggu prosiding berkenaan.
Namun, Lim tidak mempedulikan amaran berkenaan dan terus bangun untuk bertanya tentang kewajaran status embargo (larangan dedah awal) laporan berkenaan.
Pandikar kemudian menghalau Lim dari Parlimen namun Lim tidak mahu keluar dan menggelengkan kepalanya kepada bentara serta turut melaungkan "penyamun", "pencuri" kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pandikar kemudian meminta menteri membuat usul penggantungan dan ia dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman dan disokong oleh Datuk Razali Ibrahim.
Selepas usul itu disokong, keadaan masih lagi kecoh di Dewan Rakyat dan Pandikar terpaksa mengambil keputusan untuk merehatkan Dewan selama kira-kira 20 minit sebelum perdana menteri membentangkan usul laporan persempadanan semula pilihan raya.

